Pemimpin PAS dilihat berdiam diri dan kaku berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di sebuah forum di Petaling Jaya Sabtu lalu.

Presiden Jalur Tiga (JATI) Datuk Dr Hasan Ali berkata, selain bisu dari memberi kenyataan, pemimpin PAS kini dilihat seolah-olah mempertahankan LGBT.

"Tidak ada lagi besar daripada memperjuangkan jihad di jalan Allah. PAS kini dah tak sebut perkataan jihad. Pemimpin PAS sebut demokrasi. Pemimpin PAS sebut tentang LGBT seolah-olah mempertahankannya.

"Pemimpin PAS kaku, bisu, beku bila kenyataan yang dikeluarkan oleh Nurul Izzah. Siapa sebelah Nurul Izzah? Pemimpin PAS. Beliau seorang doktor berpelajaran tinggi, pemimpin PAS pusat, hebat.

"Tapi akhirnya dia antara manusia yang bertepuk tangan meraikan Nurul Izzah. Atas nama kekuasaan tadi, kehadirannya sendiri meragukan kita," kata Hasan yang merujuk kepada ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof yang turut menjadi panel forum bersama Nurul Sabtu lalu.

Hasan berkata demikian dalam forum Kebebasan Bertukar Agama dari sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan anjuran NGO pendesak Melayu PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Turut hadir menjadi panel forum ialah Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina, Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI) Dr Yusri Mohamad, dan Naib Presiden PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin.

Dalam forum bertajuk "Islamic State: Which version? Whose responsibility?", Nurul Izzah didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa kebebasan beragama seharusnya terpakai kepada semua termasuk orang Melayu.

Nurul bagaimanapun telah menafikan perkara itu dan dijangka akan membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Aduan itu dibuat kerana laporan Utusan Malaysia yang dilihat membuat tuduhan dan tidak menulis seperti apa yang beliau kata sebenarnya.

Sementara itu, Zulkifli Noordin yang juga ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Baru turut mempersoalkan tindakan PAS yang dilihat "mempertahankan" Nurul.

Menurut Zulkifli, PAS kini lebih mengutamakan kerusi berbanding perkara yang sebelum ini mereka perangi iaitu isu kebebasan beragama.

"Sekarang ini saya hairan dengan PAS boleh terima kenyataan Nurul Izzah. Bagaimana sekarang boleh pertahankan Nurul Izzah sedangkan sebelum ini mereka (PAS) menentang Majlis Peguam dalam menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC)," katanya.