Isnin, 9 Disember 2013

USTAZ KAZIM LEBIH SAYANGKAN ISLAM DARI PAS.

MOHAMMAD Kazim Elias menunjukkan isyarat bagus kepada wartawan dan jurugambar selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Penceramah bebas, Ustaz Mohammad Kazim Elias mengumumkan keluar daripada Pas selepas kecewa dengan pelbagai fitnah serta tohmahan yang dilemparkan oleh pimpinan serta ahli parti itu terhadapnya selama ini.

Malah menurutnya, fitnah dan tohmahan itu semakin 'menjadi-jadi' selepas beliau ditawarkan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sehingga ada yang sanggup menggelarnya dengan panggilan binatang, munafik serta barua UMNO.

"Belum pun saya beri kata putus menerima atau menolak (jawatan MT UMNO), saya diserang dengan panggilan binatang, munafik. Ada pimpinan Pas kata saya seperti kambing yang akan dimakan serigala, ahli agama yang bercelaru, seolah-olah akan jadi berhala atau patung sembahan dalam UMNO dan macam-macam.

"Ini menggores hati saya. Kesabaran pun ada hadnya. Tetapi saya sudah lama berkecil hati dengan Pas. Serangan terhadap saya bermula sejak 2004 sedangkan saya aktivis Pas, mereka boikot saya, kata saya anjing, macai dan barua UMNO, walhal saya tak pernah jadi ahli UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen, hari ini.

Ustaz Kazim berkata, kesabarannya terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan sampai ke kemuncak apabila ada suara-suara biadab yang menggelarnya anak babi dan anjing.

"Kalau ibu saya masih hidup, bayangkan perasaannya, mendengar anaknya dipanggil babi. Inikah yang dikatakan perjuangan Pas yang cuba nak martabatkan Islam?

"Oleh itu, saya ambil keputusan, sama ada saya pernah dipecat oleh Pas pada 2011, walau tiada surat pemecatan dan terbaharu mereka kata saya masih ahli Pas, kalau mereka kata saya ahli Pas atau kata saya telah dipecat, saya dengan ini mengisytiharkan keluar daripada Pas," tegasnya.

Kepada soalan mengenai keahliannya sepanjang berada di dalam Pas, ujarnya, beliau menyertai parti itu sebelum 1998 dan mendaftar di kawasan Gopeng, bukannya Manjui seperti dinyatakan oleh Pas.

"Saya hanya pindah ke situ (Manjui), baharu jadi ahli kawasan tersebut. Sebelum ini saya yang mula-mula buka Cawangan Pas Kampung Kuala Pari, Menglembu. Dalam sidang akhbar sebelum ini, saya mengakui, saya ahli Pas. Tetapi saya baca dalam blog, katanya (Pas Perak) mahu membawa usul pemecatan saya semasa muktamar parti itu.

"Namun, sehingga kini, saya tak tahu usul itu ada atau tidak, sebab saya tak dapat sebarang surat pemecatan. Sebab itu saya katakan saya ahli Pas dan terbukti Dewan Pemuda Pas dalam sidang akhbarnya baru-baru ini mengatakan saya masih ahli Pas yang sah," katanya.

Berhubung pendiriannya terhadap pelantikan sebagai ahli MT UMNO, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut.

Ditanya jaminan Najib susulan pelantikan berkenaan, katanya, pemimpin tertinggi UMNO itu tidak menyekat kebebasannya untuk bersuara atau berdakwah.

"Perdana Menteri memberi jaminan, saya diberikan kebebasan bersuara dan beliau sudi mendengar teguran serta nasihat. Ini niat baik, ikhlas Perdana Menteri untuk memartabatkan Islam dalam UMNO," ujarnya.

Beliau kemudiannya memberikan kenyataan berikut:

"Janganlah buat fitnah dan gelar orang dengan gelaran-gelaran buruk. Saya diterima Perdana Menteri untuk (jawatan) MT UMNO, sekurang-kurangnya berilah sokongan. Selama ini Pas kata UMNO tolak Islam, tapi adakah kita berdampingan, menasihati mereka, adakah kita menegur dan berkawan dengan mereka?

"Salahkah saya berkawan (dengan UMNO) untuk menasihati dan menegur. Ini peluang UMNO berubah, mereka beri peluang ahli Pas menyertai mereka. Ini patut diberi sokongan. Kalau Perdana Menteri memberi saya 'kuasa' dan menggubal dasar, bukankah itu lebih baik daripada sekadar bercakap."


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131203/po_03/Ustaz-Kazim-isytihar-keluar-Pas#ixzz2mwfSDYFU
© Utusan Melayu (M) Bhd

EMOSI SEORANG MENTERI...

 

KEMAMAN 8 Dis. - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mula tidak senang duduk sebaik sahaja mendapat maklumat banjir yang melanda Pantai Timur bukan lagi banjir yang sebagaimana lazimnya setiap penghujung tahun, apabila bencana itu semakin melumpuhkan kawasan yang diwakilinya.

Ketika itu beliau menyertai Perhimpunan Agung UMNO yang baharu memasuki hari kedua di ibu negara. Namun Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memutuskan untuk bergegas pulang secepat mungkin.

Perasaannya berbaur cemas dan sayu apabila air didapati naik dengan pantas, meliputi kawasan yang cukup luas, termasuk yang tidak pernah dilanda banjir selain banyak halangan yang membataskan pergerakan serta perhubungan untuk membantu dalam kadar segera.

Apabila banjir di luar jangkaan itu yang awalnya cuma dilaporkan lebih 20 mangsa pada hari pertama terus memuncak dan menjadi begitu buruk, orang ramai mula panik dalam usaha untuk berpindah dan mendapatkan bantuan sehingga keadaan menjadi kelam kabut.

“Keadaan benar-benar menguji emosi saya," ujar Ahmad Shabery berkongsi apa yang ditempuh dan dilalui oleh beliau dan penduduk dengan Utusan Malaysia ketika banjir yang melanda berpanjangan sehingga memasuki hari kelapan hari ini.

Beliau sendiri tidak menyangka banyak kawasan tenggelam dan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan naik mendadak dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan suasana kelam kabut.

“Sepatutnya pada 4 Disember saya memasuki Perhimpunan Agung Pemuda UMNO sebagai wakil Majlis Tertinggi, tetapi saya tidak mampu untuk menunggu bagi meneruskannya apabila memikirkan keadaan di sini.

“Ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menaiki pesawat ringan, saya mengambil keputusan untuk meninjau seluruh Kemaman terlebih dahulu sebagai persiapan apa yang perlu dilakukan sebaik mendarat," katanya.

Ahmad Shabery berkata, keadaan mula menjadi panik pada malam Rabu apabila orang ramai mula meminta bantuan setelah bekalan elektrik terpaksa diputuskan dan bekalan air juga terhenti.

“Saya tidak boleh melelapkan mata pada malam itu kerana membayangkan penduduk yang sedang menjerit resah dan bimbang meminta tolong tetapi kelengkapan yang tidak cukup menyulitkan keadaan.

“Keadaan benar-benar kelam kabut apabila penduduk tidak boleh mengisi minyak kenderaan, perkhidmatan bank tergendala, perniagaan tidak dapat dijalankan dan sistem komunikasi yang lumpuh.

“Kami hanya mampu menghantar bot Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk membawa keluar penduduk yang terperangkap terlebih dahulu," ujarnya.

Tambah beliau, lawatan pertamanya di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok benar-benar menguji emosinya apabila melihat penduduk yang terpaksa bersesak di situ.

Katanya, terdapat juga kawasan yang tidak boleh dilalui langsung dengan bot penyelamat misalnya di Seberang Tayor dan Pasir Gajah kerana arus air yang kuat yang memaksa beliau meminta bantuan pasukan tentera dan maritim untuk menghantar bantuan menggunakan helikopter.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131209/dn_10/Banjir-uji-emosi-Shabery-Cheek#ixzz2mwZoruH8
© Utusan Melayu (M) Bhd