Rabu, 29 Januari 2014

SPRM..SIASATLAH...TUNGGU APA LAGI...

Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh meletak jawatan tanpa sebarang alasan mengesahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya ditubuhkan untuk memenuhi nafsu politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr. Chandra Muzaffar berkata, peletakan jawatan oleh wakil rakyat PKR juga bukan pertama kali berlaku kerana isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah berbuat demikian di Parlimen Permatang Pauh pada 2008 untuk memberi laluan kepada suaminya.
Secara tidak langsung katanya, tindakan terbabit menunjukkan Penasihat PKR itu sendiri tidak menghormati selain sengaja mempermainkan demokrasi.
"Saya lihat keputusan itu dibuat atas perintah Anwar sendiri kerana tidak ada sebab untuk Chin Cheh meletakkan jawatan melainkan dipaksa untuk berbuat demikian.
"Tindakan kali kedua ini juga yang sekali lagi membabitkan Anwar menampakkan beliau seorang yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mempermainkan sistem demokrasi serta rakyat," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Geo-Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali berkata, PKR semakin hilang pertimbangan untuk memenuhi kehendak Anwar sehingga sanggup mengenepikan demokrasi serta suara rakyat.
Katanya lagi, amalan seperti itu jelas tidak menghormati suara pengundi DUN Kajang yang telah memberi kemenangan kepada Chin Cheh dalam tempoh tidak sampai setahun lalu.
"PKR sering menggunakan slogan amanah rakyat, pilihan rakyat, perlu dengar suara rakyat tetapi mereka sendiri tidak menghormati keputusan rakyat.
"Saya juga tidak menolak kemungkinan pengundi DUN Kajang akan memberi pengajaran kepada PKR supaya lebih matang dalam berpolitik serta menghormati demokrasi dengan tidak memberi undi kepada Anwar," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140129/po_05/Sah-PKR-ditubuh-untuk-penuhi-nafsu-politik-Anwar#ixzz2rkqEXfVg
© Utusan Melayu (M) Bhd

PRK DUN KAJANG BAZIRKAN DUIT RAKYAT

PUTRAJAYA 28 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh tanpa sebarang alasan sebagai sesuatu yang tidak wajar, membazirkan wang rakyat serta membuang masa dan tenaga.
Tindakan tersebut menyebabkan badan bebas itu terpaksa memperuntukkan sekurang-kurangnya RM2 juta bagi melaksanakan pilihan raya kecil untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kos tersebut tidak termasuk untuk perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh agensi-agensi lain seperti polis, tentera, pihak media dan parti-parti politik.
Tegas beliau, walaupun peletakan jawatan Chin Cheh adalah sah dari segi undang-undang, dari segi moral dan politik, bekas ADUN PKR itu diharap dapat menjadi wakil rakyat untuk tempoh lima tahun.
"Kecualilah kalau meninggal dunia, sakit kuat atau tenat atau sebab-sebab lain di bawah artikel 48 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan seseorang wakil rakyat itu hilang kelayakkan.
"Pilihan raya kecil ini akan berlaku di Kajang iaitu sebuah bandar yang agak besar, sudah tentu melibatkan kos yang tinggi berbanding di Terengganu atau Kedah, kita terpaksa berbelanja untuk sesuatu yang tidak wajar dan dari segi moralnya tidak betul," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peletakan jawatan Chin Cheh tanpa alasan semalam.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan spekulasi bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding kerusi DUN Kajang pada pilihan raya kecil itu nanti.
Abdul Aziz seterusnya berkata, pengundi di Kajang perlu membuat keputusan bijak dalam pilihan raya kecil tersebut kerana mereka adalah raja yang memutuskan kemenangan seseorang calon.
"Bagi SPR kita terpaksa adakan pilihan raya kecil sebab wakil rakyat yang diharapkan berkhidmat sehingga 2018 telah meletakkan jawatan selepas tidak sampai setahun dipilih.
"Setiap wakil rakyat yang bertanding dan menang seharusnya sedar bahawa kemenangan dan kepercayaan telah diberikan oleh pengundi-pengundi mereka," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140129/po_03/Pilihan-raya-kecil-membazir#ixzz2rkneSTL7
© Utusan Melayu (M) Bhd