Rabu, 4 Jun 2014

RM15j-ASB-Sejahtera-untuk-rakyat-miskin-tegar

Mohamad Azam Ismail (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Mohamad Abdullah (dua dari kiri) dalam Majlis Penyampaian Bantuan ASB Sejahtera di SMK Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 3 Jun - Sebanyak 315 individu yang disenaraikan sebagai miskin tegar di negeri ini menerima skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) Sejahtera bernilai RM1.5 juta.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohamad Azam Ismail, berkata, program tersebut diwujudkan oleh kerajaan dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (ARB) khusus untuk membantu golongan tersebut.
Beliau berkata, golongan miskin tegar serta berdaftar dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-kasih) layak mendapat bantuan ASB sejahtera itu.
"Menerusi program pelaburan ini, saham ASB Sejahtera sebanyak RM5,000 didaftarkan atas nama peserta tetapi saham itu adalah milik kerajaan dan peserta hanya me-nerima dividen tahunan daripada pelaburan itu.
"Pembayaran dividen akan dikreditkan terus ke dalam akaun ASB peserta setelah jumlah dividen diisytiharkan setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan ASB Sejahtera di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohamad Abdullah.
Mohamad Azam memberitahu, pengagihan ASB Sejahtera itu adalah inisiatif kerajaan bagi membantu golongan sasaran untuk menghapuskan kadar kemiskinan tegar selain dapat memberi tambahan pendapatan kepada masyarakat luar bandar di seluruh negara.
"Melalui pemberian ASB Sejahtera, ia juga inisiatif dalam menggalakkan golongan miskin tegar di negara ini untuk melabur dalam pasaran saham yang dijamin oleh kerajaan," ujarnya.
Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Rosli Deraman, 68, berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang diberikan.
"Dengan perolehan dividen daripada pelaburan itu, ia dapat meringankan beban kami sekeluarga," jelasnya.



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Timur/20140604/wt_04/RM15j-ASB-Sejahtera-untuk-rakyat-miskin-tegar#ixzz33dqeiRUW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perasaan 'Poyeng' bercampur baur


KUANTAN - Aksi final Piala FA Sabtu ini antara Pahang menentang Felda United nyata menimbulkan perasaan campur baur bagi pemain Tok Gajah, Saiful Nizam Miswan yang pernah menetap di Felda Adela, Kota Tinggi.
Saiful Nizwan atau Poyeng berkata, dari satu sudut, sudah pasti dia berasa bangga dengan pencapaian Felda United mara ke perlawanan akhir Piala FA buat julung-julung kalinya.
Katanya, pencapaian sejauh itu pastinya mengangkat kedudukan warga peneroka Felda di seluruh negara apatah lagi pasukan ini membawa nama `The Settlers' atau `Sang Peneroka'.
"Namun sebagai pemain profesional, saya pastinya memberikan aksi terbaik kepada pasukan di mana saya berkhidmat. Situasi ini bukan asing kepada mana-mana pemain.
"Seperti menentang Johor Darul Takzim (JDT), saya tetap beri komitmen penuh biar pun lawan adalah pasukan negeri kelahiran saya sendiri dan ini bakal diulangi pada aksi menentang Felda United Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara, Saiful Nizam yang menyarung jersi Pahang sejak 2009 berkata, terlepas aksi separuh akhir kedua menentang JDT Jumaat lalu akibat penggantungan membangkitkan lagi semangatnya untuk membantu Tok Gajah menjulang Piala FA.
Katanya, segalanya kini terpulang pada perancangan jurulatih, Zainal Abidin Hassan untuk menentukan barisan kesebelasan utama Pahang pada malam tersebut.
"Namun selaku pemain, sudah pasti saya amat mengidamkan untuk beraksi di pentas final. Apatah lagi, ini final Piala FA pertama dalam karier saya.
"Saya tahu persaingan untuk berada dalam kesebelasan utama adalah sengit apatah lagi semua pemain bersemangat tinggi untuk membawa Pahang menjulang Piala FA selepas kami meraih Piala Malaysia musim lalu," jelas pemain pertahanan itu.
Tambah Saiful Nizam, seperti mana pandangan ramai, cabaran Felda United tidak boleh dipandang mudah dan mereka terbukti mampu menumbangkan lawan dari Liga Super dalam perjalanan ke akhir seperti mana dibuktikan sewaktu menentang Kelantan.
"Siapa jangka Felda United mampu mengekang Kelantan. Jadi saya harap siapa pun di antara kami yang akan beraksi nanti tidak memandang mudah keupayaan lawan.
"Saya juga yakin jurulatih akan membuat persediaan rapi dalam menyediakan taktikal terbaik untuk pasukan," ujarnya.


KOMENTAR :
HOGOH PAHANG HOGOH...

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140603/su_06/Perasaan-Poyeng-bercampur-baur#ixzz33dnDuRcl
© Utusan Melayu (M) Bhd

PEMILIHAN PKR KECOH LAGI....

Bekas Timbalan Ketua PKR Cabang Sungai Petani, Ishak Man (tengah), Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim (kanan) dan bekas Ketua Penerangan AMK Kedah, Mohd. Zaidi Osman menunjukkan borang bantahan bagi proses pemilihan Ketua AMK di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah, Sungai Petani, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI
SUNGAI PETANI 1 Jun - Pro­ses pemilihan bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Petani sekali lagi kecoh apabila salah seorang calon bagi jawatan itu meminta proses pemilihan yang berlangsung hari ini dibatalkan.
Calon tersebut, Mohd. Sharmizi Nizam Abdul Rahim berkata, dia tidak berpuas hati dengan proses pemilihan jawatan itu hari ini kerana Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) tidak memaklumkan kepadanya bahawa dia layak untuk bertanding bagi jawatan tersebut walaupun sebelum ini dikatakan sebaliknya.
"Sebelum ini, pada 3 Mei lalu ketika proses pemilihan berlangsung di Taman Sri Wang, saya dimaklumkan bahawa saya tidak layak bertanding kerana masalah teknikal dan saya terima keputusan tersebut.
"Saya juga telah menghantar bantahan kepada JPP berhubung penolakan pencalonan saya pada pemilihan 3 Mei lalu namun tiada apa-apa jawapan daripada mereka.
"Tiba-tiba hari ini nama saya layak untuk bertanding tanpa pengetahuan saya dan saya tuntut proses pemilihan hari ini dibatalkan serta diadakan semula," katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna di Taman Sejati Indah di sini hari ini.
Pada 3 Mei lalu, proses pemilihan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang berlangsung di Taman Seri Wang ditangguhkan dan dilakukan semula hari ini di Dewan Serbaguna Taman Sejati Indah di sini kerana seorang calon S. Arvind Kumar mengemukakan bantahan.
Bantahan itu kerana Arvind Kumar mendakwa dia hanya mengetahui namanya tiada di dalam kertas undi bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani kira-kira pukul 11 pagi apabila tiba di pusat pengundian di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Wang di sini.
Dalam pemilihan hari ini tiga calon layak bertanding iaitu Simon Ooi, S. Arvind Kumar dan Mohd. Sharmizi.
Menurut Mohd. Sharmizi, selepas namanya dikatakan tidak layak untuk bertanding kerana masalah teknikal dia telah membantu kempen seorang calon lain iaitu Arvind Kumar.
"Saya langsung tidak berkempen untuk diri sendiri bagi merebut jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani ini sebab saya tidak fikir saya akan bertanding semula hari ini.
"Saya hanya mengetahui pagi ini melalui seorang rakan bahawa nama saya ada di dalam kertas undi.
"Saya sangat kecewa dengan proses pemilihan hari ini dan tidak akan mengiktiraf Ketua AMK Cabang Sungai Petani jika JPP tidak menangguhkan proses pemilihan ini," tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pengawas Pemilih Sungai Petani, Zainal Abidin Samat berkata, dia akan mengemukakan bantahan yang dibuat oleh Mohd. Sharmizi itu kepada JPP.
"Proses pemilihan yang berlangsung hari ini diteruskan kerana saya tidak mempunyai kuasa untuk menangguhkan proses ini kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa JPP," jelasnya.
Sementara itu, proses pengundian bagi jawatan Ketua AMK Cabang Sungai Petani yang bermula pukul 10 pagi ditutup kira-kira pukul 5 petang ini.
Jumlah pengundi yang keluar mengundi untuk memilih jawatan itu ialah 62 orang dan Simon Ooi mendapat 52 undi manakala Arvind Kumar pula tujuh undi.
Simon ketika ditemui berkata, kekecohan yang ditimbulkan oleh Mohd. Sharmizi tidak sepatutnya berlaku kerana JPP telah mengumumkan mengenai pemilihan semula yang akan dijalankan hari ini.

KOMENTAR:
Kena batang hidung sendiri...amacam???



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20140602/po_08/Pemilihan-PKR-kecoh-lagi#ixzz33dlR4MxV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ibu-Dyana-wajar-dipecat-jika-berkempen-untuk-DAP---Veteran-UMNO

MELAKA 4 Jun - Yammy Samat, ibu kepada calon DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofia Mohd Daud, wajar dipecat daripada Umno sekiranya didapati benar berkempen untuk DAP, kata Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub.

Beliau berkata, UMNO bersikap tegas mengikut peraturan terhadap anggotanya yang berkempen untuk parti pembangkang dan beliau percaya jawatankuasa disiplin parti akan menyiasat dengan teliti..

"... (Buat masa ini) beri ruang kepada beliau (Yammy) untuk menjawab (tuduhan) tetapi jika (Yammy) benar-benar bersalah, pendirian Veteran Umno tegas bahawa beliau wajar dipecat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, UMNO menghantar surat tunjuk sebab kepada Yammy kerana didakwa berkempen untuk anaknya dan beliau perlu menjawab dalam tempoh 14 hari. - BERNAMA

KOMENTAR :-
Pengurusan Umno perlu tegas supaya ahli-ahli lain akan merasa hormat kepada parti dan pemimpin. Jika terangan menyokong pembangkang wajib dipecat kerana ianya tidak merugikan parti langsung. Ramai lagi yang nak berjuang bersama Umno..


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20140604/po_10/Ibu-Dyana-wajar-dipecat-jika-berkempen-untuk-DAP---Veteran-UMNO#ixzz33djWcjQB
© Utusan Melayu (M) Bhd

PRK Teluk Intan: DAP salahkan Pas

KUALA LUMPUR 3 Jun - DAP menyalahkan Pas kerana berkeras untuk melaksanakan hudud di Kelantan sehingga menyebabkan calon parti itu, Dyana Sofya Mohd. Daud kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Sabtu lalu.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Gobind Singh Deo berkata, pendirian Pas itu telah mengakibatkan berlaku protes secara senyap terhadap pembangkang.
Beliau memberitahu, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong hudud malah mereka berpandangan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
"Ramai yang secara terbuka menyuarakan kebimbangan terhadap hasrat Pas untuk melaksanakan hudud walaupun ia bukan sebahagian daripada dasar bersama pembangkang.
"Mereka rasa terpedaya kerana menyangka Pas tidak lagi bercadang untuk menubuhkan sebuah negara Islam apabila memberi sokongan terhadap parti itu dalam dua pilihan raya umum yang lalu," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan Dyana Sofya tewas kepada calon BN, Datuk Mah Siew Kiong dengan majoriti 238 undi.
Pada 13 April lalu, Kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.
Tambah Gobind, strategi politik yang berkesan termasuk dari aspek calon dan visi parti tidak berupaya mengetepikan keperluan untuk menyatakan pendirian yang jelas tentang isu berkaitan kepentingan orang ramai seperti hudud.
"Kesan negatif akibat isu-isu seperti hudud perlu dihayati dan difahami melalui kekalahan ini," katanya.
Walau bagaimanapun, pada ruangan komen Facebook milik Go­bind itu, pemilik akaun 'Abu Ihsan Izziddeen' menempelak Ahli Parlimen Puchong tersebut kerana menyalahkan pihak lain di atas kekalahan DAP.
"Adakah ia kerana kesalahan agama Islam atau kerana kelemahan DAP memberi penjelasan bahawa hudud adalah hak umat Islam yang tiada kaitan dengan orang bukan Islam?" katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20140604/po_03/PRK-Teluk-Intan-DAP-salahkan-Pas#ixzz33diphfKx
© Utusan Melayu (M) Bhd