Rabu, 9 Julai 2014

SESAMA SENDIRI PUN NAK DI JAHANAMKAN

Usaha jatuhkan saya sangat keji - Khalid

SHAH ALAM 5 Julai - Dakwaan bahawa beliau enggan meletakkan jawatan Menteri Besar seperti diarahkan oleh Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai satu perbuatan keji dan tidak bertanggungjawab.
Menurut Abdul Khalid, tiada sebarang perbincangan dibuat dalam parti berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar termasuk mahu beliau melepaskan jawatan.
Beliau turut menafikan ada menerima mana-mana arahan supaya berundur daripada jawatan tersebut.
"Kita tidak ada bincang perkara itu. Ini tidak benar. Ini adalah tindakan paling keji oleh orang yang mahu membuat kesimpulan penamat yang mempunyai tujuan sangat tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu di sini hari ini.
Semalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei mendakwa Abdul Khalid enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda Langkah Kajang.
Shuhaimi mendakwa peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PKR pada 15 Januari lalu untuk memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Mac lalu.
Abdul Khalid dalam pada itu turut mempertikai usaha Langkah Kajang berkenaan akan dapat menawan seluruh Selangor dan negara.
"Kalau tujuan Langkah Kajang dibuat untuk menawan Selangor dan negara, itu perlu diperbincangkan lagi. Boleh jadi kita dalam pakatan pembangkang pun tidak terfikir perkara sedemikian boleh berlaku," jelasnya.
Abdul Khalid walau bagaimanapun menegaskan, meskipun terdapat usaha mahu beliau berundur, itu tidak mematahkan semangat malah menjadikan dirinya lebih kuat bekerja bagi membuktikan kemampuannya kepada rakyat.
"Ini adalah lumrah politik kerana kerusi Menteri Besar hanya ada satu tetapi boleh jadi ramai yang berminat," jelasnya sinis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140706/po_04/Usaha-jatuhkan-saya-sangat-keji---Khalid#ixzz36vu54ceL
© Utusan Melayu (M) Bhd

MB TEMPELAK ANWAR KRITIK SELANGOR

Oleh ZULKIFLI SAINUDDIN


DARI KIRI: Abdul Khalid Ibrahim, Anwar Ibrahim
SHAH ALAM 5 Julai - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pentadbiran kerajaan negeri ditempelak oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Abdul Khalid, Anwar tidak seharusnya mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri kerana dalam parti sendiri, kewibawaan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seolah-olah turut dipersoalkan oleh ahli serta pemimpinnya.
"Isu sama ada Anwar akan menjadi Presiden PKR seumur hidup turut dibincangkan.
"Kita semua ada perbincangan. Saudara (media) mesti tahu, kerajaan tidak boleh membuat perubahan sewenang-wenangnya.
"Berbeza dengan individu, hari ini dia boleh bersetuju dengan sesuatu perkara dan esok tidak bersetuju, tetapi kerajaan tidak boleh buat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu di sini hari ini.
Semalam sebuah portal berita melaporkan, Anwar dikatakan bimbang dengan pentadbiran kerajaan negeri yang diketuai Abdul Khalid.
Antara isu yang dibimbangi Anwar adalah tiada rundingan dalam kalangan pemimpin kerajaan negeri berhubung pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) dan konsesi air.
Abdul Khalid berkata, dalam isu Kidex dan konsesi air, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit untuk menyelesaikannya.
Jelasnya, undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri perlu dipatuhi supaya rakyat yakin dengan kepimpinan tertinggi.
"Anda perlu faham, saya datang dari latar belakang sangat profesional dan saya pernah jaga (tadbir) Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan kita cakap untuk 10 hingga 30 tahun akan datang," ujarnya.
Beliau menambah, pendirian yang dipegangnya untuk melakukan sesuatu perkara adalah sentiasa mengutamakan kepentingan negeri.
"Apa-apa pun perkara yang akan memberi keuntungan kepada rakyat Selangor, saya akan bekerjasama dengan semua pihak.
"Ada perkara saya setuju, ada juga yang saya tidak setuju tetapi semuanya berasaskan kepentingan rakyat," jelas beliau lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140706/po_01/MB-tempelak-Anwar-kritik-Selangor#ixzz36vsqbjMs
© Utusan Melayu (M) Bhd