Khamis, 25 Jun 2015

Tanah Melayu, Bumi Melayu...Tiada Sanggah Sepanjang Zaman..


DIBANDINGKAN dengan Melayu di tempat-tempat lain, Melayu di Semenanjung Malaysia ini mempunyai kelebihan yang cukup besar. Sebabnya, bumi yang mereka duduki diberi penghormatan entah oleh siapa untuk dinamakan Tanah Melayu.
Carilah sebuah tempat lain di muka bumi ini yang mempunyai nama yang serupa. Sulu tidak dinamakan Pulau Melayu. Sumatera tidak dinamakan Bumi Melayu. Mindanao, Makasar, Sulawesi, dan segala macam tempat lagi di nusantara ini tidak beri penghormatan untuk diabadikan dengan nama Melayu.
Di sini, di bumi Semenanjung ini, terdapat begitu banyak perkara yang dikaitkan dengan Melayu. Di sini terdapat entah berapa puluh buah kampung Melayu, di samping sebuah dua pekan Melayu. Di sini nama Melayu berada di mana-mana, daripada baju yang dipakai hinggalah pada parti yang memerintah.
Di mana lagikah ada gambaran keakraban yang serupa? Berapa buah bandarkah di Borneo yang dinamakan Bandar Melayu? Berapa batang jalankah di Jawa yang dinamakan Jalan Melayu? Berapa buahkah Kampung Melayu yang ada di Jolo? Ada tak ada perkataan yang cukup dekat dengan Melayu atau Malay di tempat lain mungkin cuma Malayalam, bahasa yang banyak dipakai di Kerala, barat daya India.
Apakah yang tergambar oleh semua kenyataan di atas? Bukankah ianya suatu cerminan tentang kuatnya hubungan Semenanjung Malaysia ini dengan orang Melayu? Bukankah itu satu gambaran yang amat jelas bahawa dalam konteks rumpun Melayu, bumi Semenanjung ini mempunyai kehebatannya sendiri yang tidak boleh digugat oleh mana-mana bumi lain. Ia seakan telah disahkan sebagai bumi sebenar milik Melayu. Bumi tempat Melayu bermula dan mungkin juga bumi tempat Melayu berakhir.
Tetapi jarang orang Melayu yang menyedari kelebihan ini. Jarang Melayu mengambil berat tentang hakikat yang tersembunyi di sebalik nama itu. Malah jarang orang Melayu mempedulikannya.
Himpunkan semua orang Melayu di Semenanjung ini dan bertanyalah pada mereka bagaimana dan kenapa bumi ini diabadikan dengan keturunan mereka. Tidak banyak yang akan dapat menjawabnya. Kebanyakannya kerana tidak tahu dan kerana tidak pernah mahu mengambil tahu. Sebabnya? Mereka jarang mengambil berat terhadap soal akar umbi sendiri.
Kebanyakan orang Melayu sendiri menyimpan anggapan bahawa mereka sebenarnya bangsa yang masih muda. Mereka rata-rata menganggap sejarah mereka cuma bermula dengan tegaknya Kesultanan Melayu Melaka. Bagi mereka, sebelum itu Melayu tidak wujud. Mereka lupa atau barangkali alpa pada hakikat bahawa Melayu di Semenanjung ini telah wujud lebih lama sebelum itu. Kedah, di utara Semenanjung, telah dirakam dalam sejarah China sejak Dinasti Liang (502-665). Kalaupun namanya waktu itu disebut ‘Langgasu’ (Langkasuka) dan wilayahnya menjengkau hingga ke selatan Siam, ia pada hakikatnya tetap Kedah; salah sebuah negeri di bumi Melayu ini. Dan siapakah yang mendiami Kedah waktu itu kalau bukan orang Melayu?
Empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatera dan yang telah membina tamadun cemerlang di hampir seluruh Tanah Melayu dan abad ke-9 hingga abad ke-13 adalah kerajaan Melayu. Itu juga hakikat yang tidak boleh dinafi. Orang-orang Melayu serpihan daripada empayar besar itulah yang kemudiannya bertukar menjadi Melayu-Islam, mengikut jejak Parameswara.
Di Perak, para arkeologis mempunyai bukti bahawa telah wujud kerajaan-kerajaan purba sejak kurun ke-5 Masehi. Lebih 1,300 tahun dahulu kerajaan Gangga Negara yang dipercayai berpusat di Beruas telah tegak sebagai sebuah kerajaan besar. Ia gah dan tersohor sehingga pada kurun ke-11 Gangga Negara berupaya menarik minat Raja-Raja Chola di India untuk menyerangnya. Siapakah yang menjadi raja dan rakyat kerajaan Gangga Negara itu kalau bukan orang Melayu?
Peta Tanah Melayu yang dilukis oleh Ptolemy pada kurun ke-2 telah menunjukkan terdapat dua buah pelabuhan di pantai timur Semenanjung iaitu ‘Kole’ dan ‘Perimoula’, yang kedua-duanya terletak di Terengganu. Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang pula menunjukkan seawal tahun 1303 Islam telah tiba di Terengganu. Siapakah agaknya yang menghuni Kole dan Perimoula? Siapakah Raja Mandalika yang memerintah Terengganu pada waktu Islam mula sampai ke situ? Bukan Melayukah mereka?
Dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada tersebut mengenai suatu tempat bernama ‘Ko-lo’, yang dikatakan telah mempunyai hubungan dengan China sejak zaman pemerintahan Dinasti Han (206 S.M – 221 Masehi). Dan kebanyakan sejarahwan percaya ‘Ko-lo’ yang dikatakan terletak di Tanah Melayu itu ialah Kelantan. Catatan-catatan China pada kurun ke-7 Masehi juga ada menyebut mengenai ‘Ho-lan-tan’ dan ‘Kou-lo-tan’. Lagi sekali soalannya sama, siapakah agaknya yang mendiami Kelantan ketika itu jika bukan orang Melayu?
Pendek kata, dilihat dalam apa sudut pun, orang Melayu memang mempunyai sejarah yang amat panjang dan lama di bumi bertuah ini.
Malangnya orang Melayu sendiri cenderung memendekkan sejarah kehadiran mereka di sini. Mereka seolah-olah tidak berbangga langsung mengenainya.
Sebagaimana disebutkan tadi, apabila bercakap tentang sejarah bangsa, kita, iaitu semua Melayu di bumi Melayu ini, selalunya cuma melihat setakat tahun 1403, tahun bermulanya kerajaan Parameswara di Melaka dan tahun yang menjadi titik mula tegaknya sebuah kerajaan Melayu yang terbilang. Kita jarang, malah selalunya tidak pernah mengambil hirau, terhadap kehebatan empayar-empayar Melayu sebelum tarikh itu.
Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku. Pertama, sejarah tempatan pertama dalam bentuk tulisan iaitu Sejarah Melayu hanya ditulis pada tahun 1612. Sebelum hasil penulisan Tun Seri Lanang itu tidak ada rekod tempatan lain yang boleh dipakai. Rekod-rekod bertulis lain, khususnya dari China dan India, kebanyakannya cuma menyebut secara samar-samar tentang kewujudan bumi Melayu ini.
Jadi sejarah bertulis yang ada tidak cukup untuk mengajak orang Melayu menjengah jauh ke akar umbi nenek moyangnya. Sejarah Melayu itu pula lebih banyak memberi tumpuan pada tamadun yang dibina di Melaka selepas mencampur-adukkan sejarah akar umbi rumpun Melayu dengan dongeng dan fakta.
Di sekolah, kita dan anak-anak, diajar terlalu sedikit tentang asal usul Melayu. Dan setiap kali subjek itu disentuh, fokus dan tumpuan hanya setakat kerajaan Melayu Melaka, bukannya pada Melayu yang wujud sebelum tegaknya tamadun di bumi Hang Tuah itu. Sampai sekarang tidak ada siapa pun yang mahu mengambil berat untuk menjadikan Tamadun Melayu sebagai subjek yang wajib dipelajari, setidak-tidaknya oleh anak-anak Melayu, di peringkat awal persekolahan mereka. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang menginsafi hakikat bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang tidak melupakan tunjang dan umbinya. Hasilnya sampai sekarang anak-anak Melayu di bangku sekolah rendah lebih mengenal nama dan asal usul Christopher Columbus atau Amerigo Vaspucci daripada mengenal nama dan asal usul ‘Kedaram’ dan ‘Kolantam’.
Ada pendapat mengatakan orang Melayu sendiri sebenarnya sengaja tidak mahu menganggap mereka wujud sebelum kemunculan Kerajaan Melayu Melaka. Ini berlaku kerana pada zaman-zaman sebelum itu orang Melayu bukan penganut Islam. Tamadun yang dibina di Semenanjung sebelum Melaka adalah tamadun bukan Islam. Srivijaya misalnya, adalah sebuah kerajaan yang tegak di atas kepercayaan Buddha. Tamadun yang pernah muncul di sekitar Kuala Merbok, Kedah pula terpacak atas panji-panji Hindu.
Orang Melayu dikatakan tidak mahu dikaitkan dengan semua elemen bukan Islam. Mereka malu mengaku bahawa nenek moyang mereka dahulu adalah penganut Hindu, Buddha atau animisme. Mereka merasakan tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dengan tamadun terdahulu kerana semuanya adalah tamadun bukan-Islam. Mereka terlupa satu perkara, bahawa dalam apa konteks pun agama dan bangsa adalah dua perkara yang berbeza. Kalaupun yang membina candi-candi di Merbok itu adalah penganut Hindu namun dalam konteks bangsa, mereka berkemungkinan besar adalah Melayu. Tamadun yang mereka bina sehingga memungkinkan tegaknya candi-candi itu juga sesungguhnya adalah Tamadun Melayu.
Memang benar dalam Perlembagaan Persekutuan, Melayu dan Islam berkait begitu rapat. Taraf Bumiputera yang dinikmati oleh seseorang Melayu itu akan hilang dengan sendirinya jika individu Melayu berkenaan tidak lagi beragama Islam. Secara langsung ini bermakna keMelayuannya juga turut gugur.
Hubungkait yang rapat antara Melayu dan Islam itulah agaknya yang menyebabkan kita tidak menganggap nenek moyang kita sebelum kewujudan Melaka sebagai Melayu. Sebabnya, mereka bukan beragama Islam.
Tetapi apa yang dicatatkan oleh Perlembagaan adalah sesuatu yang bersifat teknikal. Ianya juga subjek baru. Dan subjek itu tidak mengubah realiti asal bahawa penganut Hindu, Buddha, animisma atau apa sahaja kepercayaan sebelum Parameswara juga sebenarnya orang Melayu.
Dengan perkataan lain, ia tidak akan dapat menggugat satu kebenaran: bahawa Melayu telah lama – terlalu lama – menjadi penghuni di bumi Semenanjung ini. Dan kerana itu selayaknya mereka dianggap sebagai pribumi, atau dalam istilah semasa sebagai Bumiputera.
Apa yang tersirat di sebalik hakikat itu ialah, orang Melayu sesungguhnya mempunyai hak yang istimewa ke atas tanah ini. Hak yang diwarisi sejak zaman berzaman itulah yang mesti mereka pertahankan dan hak itu jugalah yang tidak boleh diusik oleh sesiapa.
Tetapi hak itu sebenarnya telah diusik dan sering terusik. Secara rasmi ia bermula sejak JWW Birch cuba menyentuh perkara-perkara yang membabitkan adat resam Melayu semasa menjalankan tugas-tugasnya sebagai Residen pertama British di Perak hinggalah ke gagasan Malayan Union dan seterusnya kepada suara-suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang-orang Melayu, yang kedengaran akhir-akhir ini.
Usikan-usikan begitu tidak akan berakhir dengan mudah. Ia akan terus muncul dan muncul walaupun mungkin dalam suasana dan dengan pendukung watak yang berbeza.
Jangan salahkan sesiapa. Setiap manusia mempunyai hak untuk berasa ingin dan kemudian berusaha merealisasikan keinginannya. Birch tidak bersalah kerana cuba mengusik adat resam Melayu dan agama Islam dalam urusan pentadbirannya. Dia hanya melaksanakan tugas. Daripada satu sudut, dia bolehlah dianggap seorang pegawai yang amanah dan baik. Dia telah mengambil risiko besar demi untuk menyempurnakan amanah yang dipikulkan ke bahunya.
Tetapi pembesar-pembesar Melayu yang merancang pembunuhan Birch juga tidak bersalah. Mereka melakukannya kerana mempertahankan hak mereka. Mereka sedar bahawa mempertahankan hak juga adalah satu amanah.
Amanah itu jugalah yang sedang dipikul oleh kita semua sekarang. Di atas batu jemala kita, yang suatu masa dahulu memikul titah raja ini, sekarang terpikul harapan anak cucu. Kita dituntut untuk mempertahankan hak mereka, yang sekaligus merupakan hak kita.
Tidak ada suatu kuasa lain yang mampu membantu kita melakukannya. Hanya kita dan cuma kita.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh menahan usikan-usikan terhadap hak keistimewaan mereka selain daripada orang-orang Melayu sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa itu yang mengubahnya. Dan mempertahankan hak yang ada adalah satu langkah ke arah mengubah nasib yang sedia ada.
Tetapi bagaimanakah Melayu hendak bercakap tentang mempertahankan hak jika mereka sendiri tidak begitu sedar tentang hak yang mereka miliki? Mana-mana juga bangsa yang mengabaikan sejarahnya lambat laun akan menjadi sejarah. Sesungguhnya, hak di sisi sejarah adalah sebesar-besar hak untuk apa juga bangsa di muka bumi ini. Dengan hak yang ada di sisi sejarahlah Red Indian di Amerika dan Aborigines di Australia masih boleh bertahan sehingga sekarang. Tanpa hak itu mereka mungkin akan lenyap begitu sahaja. Dan hak itu pasti tidak dapat ditegakkan jika mereka sendiri mengabaikan sejarah!
Kesedaran tentang kuatnya hubungan darah mereka dengan tanah di bumi Melayu ini perlu bertunas, membesar dan berkembang biak di jiwa setiap Melayu. Mereka harus berpaling jauh memandang ke belakang untuk mengenang kembali bagaimana besarnya kekuasaan datuk nenek mereka terhadap Tanah Melayu. Mereka perlu sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa bangsa mereka pernah gemilang di negeri ini dan kerana itu juga akan terus gemilang.
Tetapi berpaling ke belakang itu harus ada had dan batasnya. Sama jugalah dengan memandang ke hadapan, harus ada garis dan sempadannya!

Masih adakah sinar Pas, DAP berbaik?


Masihkah ada sinar di sebalik 'awan hitam' yang menyelubungi Pas dan DAP?

Persoalan ini pastinya antara perkara yang bermain diminda rakyat khususnya pemerhati politik ekoran kemelut yang melanda PR ini kian parah, sekali gus menyaksikan Pas dan DAP 'berpatah arang, berkerat rotan'.

Hubungan yang dibina sejak 1 April 2008 atas nama PR dengan tujuan untuk 'membela kebajikan rakyat' kini lumpuh. Ia seakan-akan kehilangan nakhoda, selepas ketiadaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.

Seperti yang diketahui banyak pihak sebelum ini, keutuhan dan kesepaduan serta masa depan PR sebenarnya banyak bergantung kepada Anwar, yang memainkan peranan sebagai orang tengah kepada Pas dan DAP khususnya dalam membina kepercayaan antara kedua parti itu.

Sebelum ini, Pas dan DAP pernah bersama dalam Barisan Alternatif (BA) pada 1999 bersama dua parti lain iaitu Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Lantaran tidak bersetuju dengan dasar Pas memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001 manakala Keadilan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.

Kini nasib yang sama bakal dilalui PR seolah-olah mengulangi episod hitam yang pernah berlaku semasa BA.

Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata sesebuah pakatan yang dibentuk tidak sepatutnya tertumpu kepada ketokohan seseorang pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai matlamat akhir yang sama.

"Dalam konteks PR, memang benar Anwar adalah gam yang menyatukan tiga parti dan tanpanya, pakatan akan berpecah. Persoalannya, sampai bila nak guna Anwar?," katanya.

Keretakan bermula apabila DAP memutuskan hubungan dengan Pas di Sabah dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi masih kekal bekerjasama dengan Pas.

Pas kemudian menerusi satu usul tergempar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP, tetapi kekal bersama pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima tanpa bahas pada Muktamar tahunan Pas ke-61 pada awal bulan ini.

Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan muktamar Pas untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu.

Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada keesokan hari mengakui PR tidak lagi berfungsi secara formal.

Penganalisis politik berpendapat bahawa kewujudan PR yang longgar belum mampu membentuk pakatan atau gabungan yang mantap untuk menjadi parti alternatif kepada BN.

Mohd Izani berkata, kemungkinan untuk Pas-DAP 'berbaik' itu ada kerana ia melibatkan soal strategi politik yang akan menentukan kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Jika kemungkinan 'berbaik' itu ada, apakah yang berlaku ketika ini satu drama sekadar untuk menarik perhatian umum?

"Pas menerima hakikat bahawa kerjasama politik adalah penting dan sebab itulah walaupun mereka memutuskan hubungan dengan DAP, (tetapi) mereka masih nak kekal bekerjasama dengan PKR.

"Pas juga tidak mustahil bekerjasama semula dengan DAP sekurang-kurangnya dengan membentuk pakatan pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara (BN, Pas dan DAP)," katanya kepada Bernama.

Ibarat cinta tiga segi, pastinya yang tersepit dalam hubungan ini ialah PKR yang sudah tentu memerlukan Pas dan DAP untuk memastikan parti itu terus mendapat laba hasil daripada kerjasama politik itu.

Bekas Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali pada 18 Jun lepas dilapor sebagai berkata Pas tidak boleh bergerak sendirian jika tidak bersefahaman dengan rakan pakatan pembangkang lain untuk merealisasikan hasrat menumbangkan kerajaan BN, lantas merampas Putrajaya.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lepas menegaskan PR masih wujud dan belum berkubur biar pun rakan sekutunya DAP mengisytiharkan pakatan itu tidak lagi wujud.

Pensyarah itu berkata apa jua keputusan yang dihasilkan ketika muktamar cerminan suara akar umbi Pas.

"Jangan pandang rendah terhadap mereka (akar umbi). Mereka ini sangat mengambil berat akan hala tuju dan jati diri Pas," katanya.

Mohd Izani melihat sekali pun diwujudkan pakatan pembangkang yang baharu, jika konsep 'equal partner' masih lagi digunakan, ia tidak akan mampu membentuk pakatan yang kukuh.

'Equal partner' merujuk kepada pemberian kerusi menteri besar kepada PKR dalam konteks Selangor meskipun kerusi Dun tertinggi dimiliki Pas dan DAP, masing-masing memiliki 15 daripada jumlah keseluruhan 56 kerusi Dun.

PKR pula hanya memiliki 13 kerusi, BN (12) dan Bebas (satu). Selain Selangor yang diterajui PKR, Kelantan dikemudi oleh Pas dan Pulau Pinang ditadbir DAP.

Bagi Dun Pulau Pinang yang mempunyai 40 kerusi, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (10), BN (10) dan Pas (satu) manakala Dun Kelantan yang mempunyai 44 kerusi, 31 daripadanya dikuasai Pas, BN (12) dan PKR (satu).

"Ternyata konsep equal partner tidak berjaya dalam PR," kata Mohd Izani. 

Beliau menegaskan bahawa meskipun tanpa Pas, cadangan penubuhan sebuah parti politik baharu oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai idea pembentukan pakatan pembangkang yang baharu oleh DAP tidak mampu membentuk pakatan yang jitu.

"PasMa adalah parti serpihan Pas dan tidak akan boleh bertahan lama. Ia sekadar mampu menjadi platform mereka yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pas sahaja.

"PasMa memang mudah untuk menjalinkan kerjasama, tetapi persoalannya, bagaimana pula dengan akar umbi Pas? DAP dan PKR pun sangat bergantung dengan jentera dan tenaga kerja Pas. Sebab itu pakatan pembangkang perlukan model kerjasama politik yang kukuh," katanya.

Beliau menegaskan walaupun amat sukar diterima, hakikatnya DAP masih memerlukan Pas memandangkan teras politik negara adalah orang Melayu. – Bernama

PM kecewa kenyataan Pengerusi Mara diputar-belit

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia diputarbelitkan sesetengah media.

Najib menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

"Saya kecewa bahawa kenyataan Tan Sri Annuar Musa diputar-belit oleh sesetengah media. Keputusan hanya dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

"Bagaimanapun, siasatan akan dilakukan oleh pihak berkuasa," katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini.

Najib berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Annuar dalam sidang media hari ini berkata Mara mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak
syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Annuar berkata proses audit di samping siasatan SPRM, kedua-duanya yang bermula sejak beberapa minggu lepas, masih berjalan. - Bernama

Penguat kuasa khianat - Amalan rasuah jadi punca sempadan mudah dibolosi

Sikap khianat segelintir anggota agensi penguat kuasa terus menjadi `duri dalam daging, sehingga mengakibatkan sempadan negara begitu mudah dibolosi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Apa yang membimbangkan biarpun gejala itu sudah berlanjutan sejak dua dekad lalu namun sehingga kini amalan rasuah didakwa terus berlaku di sempadan negara.

Sumber memberitahu, meskipun penambahbaikan serta cadangan demi cadangan yang komprehensif diberikan, namun sistem perjalanan kerja yang dilakukan penguat kuasa di sempadan masih berada di takuk lama sehingga mengakibatkan kegiatan rasuah menjadi budaya dalam kalangan mereka.
“Kelemahan itu menjadi faktor utama ramai pihak yang tidak bertanggungjawab mendapat peluang dan kesempatan untuk membeli penguat kuasa dengan wang ringgit.
“Lebih menyedihkan, dengan hanya suapan serendah RM20 ringgit sahaja, pintu masuk di sempadan negara terus dicabuli dengan pelbagai kegiatan penyeludupan yang akhirnya memberi kesan negatif kepada negara,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelemahan itu juga dakwa sumber itu, diketahui pegawai atasan atau ketua-ketua jabatan yang menyelia sistem kerja penguat kuasa namun sehingga kini tiada sebarang tindakan drastik diambil sejak bertahun lamanya.
Sumber berkata, pegawai atasan mengambil mudah tentang perjalanan kerja anggota mereka sehingga sanggup menutup sebelah mata meskipun mengesan atau mengetahui berlakunya kejadian rasuah.

“Ketirisan di sempadan ini bukan benda setahun dua berlaku sebaliknya telah berpuluh-puluh tahun dan hampir mencecah lebih dua dekad lamanya.
“Perkara ini berpunca akibat pegawai atasan yang tidak memberi perhatian terhadap cara kerja anak buah mereka. Antara yang dikesan adalah kurangnya pemantauan secara berkala serta tidak turun padang untuk menyelia sendiri setiap aturan kerja penguat kuasa.
“Malah apabila terdapatnya laporan salah laku, tiada tindakan drastik dilakukan dan pegawai yang melakukan kesalahan rasuah masih dibiarkan berkhidmat di lokasi sama, Tindakan itu seolah-olah mereka tutup sebelah mata dan tidak ambil peduli,” katanya.

Turut difahamkan, operasi yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sempadan utara negara baru-baru ini adalah disebabkan permasalahan ini, yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan sejak sekian lama di seluruh negara.
“Walaupun laporan secara dalaman telah diberikan namun tiada tindakan drastik dilaksanakan malah sempadan negara terus diceroboh ekoran sikap tidak berintegriti sebilangan penguat kuasa.

“Walaupun jumlah tangkapan sekadar sekitar 40 penguat kuasa sahaja namun bilangan itu dilihat tinggi memandangkan isu ini melibatkan isu keselamatan negara,’’ kata sumber itu lagi.

Seperti diduga oleh banyak pihak gejala rasuah yang berpunca daripada perbuatan khianat segelintir anggota penguat kuasa menyebabkan sempadan negara kita mudah dibolosi. Persoalannya, bagaimanakah rasuah itu dilakukan dan siapa yang terlibat?

RELA KU LEPASKAN....

Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi menyatakan kesudiannya memberi laluan kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, untuk memimpin sebuah parti Islam baharu bagi menggantikan Pas.

Pendirian Phahrolrazi itu merupakan jawapan balas cukup pedas kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang memberi peringatan kepada pemimpin dan ahli parti tersebut semalam, bahawa mereka akan ‘tenggelam’ jika keluar Pas untuk menubuhkan parti baharu.
Dalam nada sinis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor, Kedah, itu menambah, peringatan Abdul Hadi itu tidak berasas kerana Pas sebenarnya yang bertindak menenggelamkan 18 pemimpin dari kem Anwarinas dalam pemilihan parti tersebut baru-baru ini.
“Ini (perancangan menubuhkan parti Islam baharu) soal kebebasan dalam demokrasi, masing-masing mempunyai pertimbangan sendiri dan sudah tentu apabila kita merancang menubuh parti baharu, ada risikonya. Tapi peluang kejayaan juga sentiasa terbuka luas untuk kita.
“Soal tenggelam tidak timbul kerana dalam Pas (kumpulan 18 pemimpin) sudah ditenggelamkan, sedangkan mereka memiliki banyak potensi. Jadi kena cari tempat baharu untuk timbul iaitu wadah politik baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas peringatan Abdul Hadi menerusi surat terbuka Presiden Pas itu kepada seluruh ahli parti bahawa mana-mana pemimpin atau ahli yang keluar daripada Pas akan ‘tenggelam’ bersama parti atau pertubuhan lain yang disertainya.

Kumpulan 18 pemimpin Pas yang dilabelkan sebagai pendokong Anwarinas diketuai Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kini sedang dalam siri jelajah untuk mengumpulkan sokongan selaras dengan rancangan mahu menubuhkan parti baharu selepas Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, menyentuh kesediaannya memberi peluang kepada Mat Sabu untuk memimpin parti yang bakal ditubuhkan kelak, Phahrolrazi berkata, langkah berkenaan wajar kerana bekas Timbalan Presiden Pas tersebut merupakan pemimpin paling kanan selain seorang aktivis.

“Mat Sabu merupakan pemimpin paling kanan, beliau seorang aktivis parti yang paling konsisten. Ini tentunya memberi kelebihan kepada beliau kerana faktor tersebut boleh memperkukuhkan pakatan tetapi buat masa ini, kita masih lagi di peringkat penaja,” katanya.

Jangan jual tanah Tabung Haji di TRX

Kerajaan sekali lagi didesak mengkaji balik hasrat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk menjual tanahnya yang terletak di pusat kewangan, Tun Razak Exchange (TRX) kerana mempunyai potensi pelaburan yang sangat tinggi dan menguntungkan.

Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, aset tersebut perlu dipertahankan kerana harga tanah di TRX dijangka terus meningkat terutama selepas pembangunan di segi tiga emas itu disiapkan dan dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur serta prasarana moden.
Menurut beliau, tanah berkenaan juga melambangkan pemilikan aset oleh orang Melayu dan Islam di kawasan hartanah paling bernilai di negara ini memandangkan Tabung Haji merupakan institusi yang mewakili kaum itu.
“Kalau mengharapkan syarikat individu milik Melayu, saya rasa 20 tahun akan datang pun tiada orang Melayu akan memiliki tanah di situ, sekarang ada institusi yang mewakili Melayu dan Islam. Jadi, perlu untuk kita menjaga kepentingan tanah itu yang dibeli pada harga lebih murah berbanding yang dibayar syarikat lain.

“Isu ini sebenarnya dipolitikkan sehingga Tabung Haji mahu jual balik tanah. Seolah-olah Tabung Haji mahu menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walhal ini tidak masuk akal kerana hutang 1MDB adalah RM42 bilion sedangkan tanah itu dibeli pada harga RM188.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, seiring dengan hasrat menjadikan TRX sebagai hab kewangan Islam global, maka pelaburan Tabung Haji di situ sangat bertepatan bagi menunjukkan kepada dunia bahawa institusi Islam itu juga mampu berjaya dalam bidang kewangan Islam.
Menurutnya, aset berkenaan akan turut menyumbang kepada pertambahan jumlah tanah dimiliki bumiputera di negara ini yang hanya tinggal 12 peratus berbanding sasaran yang pernah ditetapkan raja-raja Melayu suatu ketika dulu iaitu sebanyak 50 peratus.
“Apa sudah jadi kepada sasaran untuk memperkasa pemilikan bumiputera terhadap tanah-tanah di negara ini yang tinggal 12 peratus kerana banyak tanah telah diambil tetapi tidak diganti balik.

“Kita tidak mahu akhirnya nanti tanah di TRX juga dikuasai oleh orang lain tanpa satu pun dimiliki orang Melayu, sekangkang kera pun tidak ada yang menjadi milik orang Islam kerana telah dijual dan dipolitikkan,” tegas beliau.

Azmin bincang dengan Sultan Selangor? Suasana politik negeri tidak menentu, krisis Pas-DAP

Menteri Besar, Mohamed Azmin hari ini me­ngadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mengadakan perbincangan dengan ba­ginda di Istana Bukit Kayangan di sini, ketika pentadbiran pakatan pembangkang termasuk negeri ini sedang berhadapan kemelut politik akibat pergeseran di antara Pas dan DAP.

Mohamed Azmin sebelum itu hadir di istana berkenaan bagi me­ngiringi baginda sempena istiadat penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Selangor; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor; Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah Se­langor dan para Pendaftar serta Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.
Bagaimanapun, Mohamed Az­min kemudiannya menghadap dan mengadakan perbincangan hampir satu jam dengan Sultan Selangor selepas istiadat tersebut selesai kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Namun, tidak dapat disahkan sama ada perbincangan tersebut melibatkan isu politik semasa yang melanda pakatan pembangkang ketika ini atau sebaliknya.
Pada 18 Jun lalu, Mohamed Azmin menegaskan adalah tidak adil untuk mengheret institusi ke­sultanan dalam krisis politik kerana beliau tidak ada keperluan untuk menjelaskan isu tersebut kepada baginda.


Kenyataan itu dibuatnya selepas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada Khamis lalu menyatakan Menteri Besar Selangor itu akan menghadap Sultan Selangor dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan PKR itu susulan krisis dalam pakatan pembangkang.
Menurut Rafizi, ia membolehkan penjelasan sebenar situasi politik diberi dengan teliti kepada Sultan Selangor selain untuk pengetahuan rakyat negeri ini susulan DAP sebelum ini mengumumkan bahawa ikatan politik pakatan pembangkang yang dimulakan pada 2008 sudah tidak lagi wujud, berikutan usul muktamar Pas lalu yang memutuskan hubungan dengan parti itu.

1MDB: Media diminta tidak lapor fakta palsu

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan media supaya bertanggungjawab di atas penyiaran laporan tidak tepat dan fakta palsu berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau bakal berdepan tindakan termasuk pembatalan permit penerbitan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan penahanan Xavier Andrea Justo di Thailand semalam yang didapati bertanggungjawab menyalurkan maklumat yang tidak tepat kepada blog politik, Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB.
Beliau dalam masa sama turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap portal berita yang telah me­nyiarkan berita palsu itu.
“Maklumat rintis palsu itu akhirnya dilaporkan oleh majalah The Edge dan media lain secara terbuka. The Edge dan pemiliknya perlu mengambil tanggungjawab di atas penyiaran laporan yang tidak tepat dan fakta palsu itu.
“Akhbar tersebut sepatutnya membuat pengesahan fakta terlebih dahulu sebelum membuat laporan. Laporan palsu sebegini boleh mencemarkan etika kewartawanan dan pihak kementerian boleh membatalkan atau menarik balik permit penerbitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pe­nerapan nilai-nilai murni sempena bulan Ramadan di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas penahanan Justo di rumahnya di Thailand oleh Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thailand atas pertuduhan cuba memeras ugut PetroSaudi sebanyak 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta) berhubung maklumat berkaitan 1MDB semalam.
Menurut Ahmad Zahid, sel data yang dicuri itu adalah tidak lengkap malah telah menjalani proses penyuntingan secara profesional selepas dikeluarkan daripada sistem syarikat tersebut dengan niat jahat untuk menyerang dan merosakkan imej organisasi dan individu ter­tentu.
“Difahamkan, berdasarkan siasatan forensik sebahagian e-mel dan dokumen yang disiarkan dalam blog tersebut telah ditokok tambah selepas dicuri dari pangkalan data PetroSaudi,” jelasnya.
Sementara itu , beliau berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand termasuk mengekstradisi rakyat negara ini bagi membantu siasatan kes peras ugut melibatkan bekas eksekutif PetroSaudi yang ditahan di negara jiran itu semalam.
Kata beliau, pihaknya melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pasukan polis Thailand dan Sekretariat Polis ASEAN (ASEANPOL) dalam menyelesaikan kes jenayah antarabangsa itu.
Beliau berkata, pihak berkuasa akan menyiasat rekod e-mel dan panggilan telefon mereka yang terlibat dalam kes penipuan, pemalsuan dan peras ugut itu.
“Kalau pihak berkuasa Thailand mahu ekstradisi dilakukan terhadap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab menyiarkan berita terbabit maka pihak kita sedia memberikan kerjasama,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, pihak­nya menyambut baik tindakan polis Thailand yang telah menangkap dan menjalankan siasatan ke atas warga Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut syarikat be­r­kenaan.

Dalang rompak kapal tangki dikenal pasti

Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengenal pasti dua hingga tiga sindiket yang dipercayai menjadi dalang kepada kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony pada 11 Jun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, sindiket tersebut dikenal pasti selepas pihaknya melakukan siasatan terperinci termasuk yang membabitkan kes-kes rompakan terdahulu.
Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak tujuh kes rompakan berlaku di Laut China Selatan dan pihaknya percaya ada di antara kumpulan berkenaan turut terlibat dalam rompakan kapal tangki itu yang membawa muatan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mencari dalang atau ‘kingpin’ yang bertanggungjawab dalam kes rompakan tersebut. Ketika ini ba­nyak peringkat perlu dilalui dalam usaha kita selesaikan siasatan.
“Apa yang penting ketika ini, kita perlu mengekstradisi segera lapan suspek yang kini ditahan di Vietnam supaya lebih banyak maklumat mampu diperoleh sehingga tertangkapnya ketua dalang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama, Komandan Gugus Keamanan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) Wilayah Barat, Abdul Rashid Kacong dan Ketua Keamanan Laut Zon Maritim Barat Batam, Uk. Agung.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Puzi berkata, Maritim Malaysia juga akan meneliti segala alat perhubungan yang digunakan oleh kumpulan lanun terbabit termasuk komunikasi satelit memandangkan setiap peralatan itu amat penting dalam proses siasatan ketika ini.
“Kita akan merungkai dengan siapa lanun berkenaan berhubung sepanjang mereka berada di atas kapal MT Orkim Harmony dan ini semua diharap mampu membawa kepada tertangkapnya ketua sindiket.
“Kita juga akan menghantar wakil ke Vietnam dalam masa terdekat dan untuk makluman siasatan di negara tersebut diketuai oleh Indonesia kerana melibatkan rak­yat negara mereka,” katanya.
Menurut Ahmad Puzi, sehingga kini siasatan mengenai kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony telah siap 50 peratus dan 50 peratus lagi perlu menunggu lapan lanun berkenaan diekstradisi ke Malaysia.
“Saya percaya selepas lapan lanun berkenaan diekstradisi ke Malaysia, siasatan dapat dipercepatkan dan kita yakin dapat me­ngenal pasti sindiket yang menjadi dalang kepada rompakan tersebut. Pada masa sama, usaha kita untuk mengesan lima lagi lanun akan te­rus diperhebatkan.

“Sehingga kini siasatan sudah siap 50 peratus melibatkan proses forensik terhadap kapal MT Orkim Harmony dan proses soal siasat 22 kru. Kita sekarang hanya me­nunggu lapan lanun untuk dibawa ke Malaysia serta peralatan yang mereka gunakan,” katanya.
Mengulas mengenai rantaian sindiket rompakan di laut, Ahmad Puzi berkata, sindiket itu melibatkan enam gerakan iaitu perancang, perekrut perompak, pemberi maklumat, perompak, kapal penyedut minyak dan juga pembeli.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia akan memperhebatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam membanteras aktiviti rompakan di kawasan perairan kedua-dua negara.