Hassan Ali : Tiada Ruang Untuk Nurul Izzah Nafi
Published by AIDC on November 9, 2012
Antarapos – Setelah beberapa kali meneliti video kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Sabtu lalu berhubung kebebasan beragama bagi kaum Melayu, Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hassan Ali berpendapat ianya jelas menggambarkan maksud sebenar pemimpin itu.
Hasan berkata beliau tidak nampak wujud sebarang ruang buat Ahli Parlimen Lembah Pantai itu untuk menafikan kenyataannya sebelum ini.
“Bagi saya, kenyataan yang dikeluarkan oleh Nurul Izzah yang kita dengar, yang kita tatapi, yang kita baca dua, tiga hari ini, saya tidak nampak boleh ada penafian kepada statement ini..saya tidak nampak langsung.
“Tiada cara nak tarik balik, nak menerangkan lagi, itulah hasratnya..hasrat ayahandanya (Ketua Pembangkang, Datk Seri Anwar Ibrahim), hasrat dianya, hasrat partinya, hasrat kumpulan tiga partinya dalam Pakatan Rakyat (Pakatan – PKR, DAP dan PAS), itulah dia,” tegas Hassan.
Peguam yang bertanya kepada Nurul Izzah sama ada orang Melayu patut diberi kebebasan agama sama seperti bukan Islam pada sebuah wacana, Sabtu lalu, melahirkan rasa kesal apabila Izzah dikatakan menukar nada.
Siti Kasim menegaskan jawapan yang diberikan oleh anak sulung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tatkala itu membayangkan beliau (Nurul) menyokong orang Melayu diberikan kebebasan agama sedemikian.
Namun selepas dikritik oleh pelbagai pihak, Izzah mengubah pendiriannya dan bertegas mahu menyaman media yang dakwanya memutar belitkan kenyataannya.
“Saya percaya Nurul (ketika itu) cuma sedang cuba mengambil hati hadirin, beliau tidak memikirkan natijah (kenyataannya), Siti dipetik berkata oleh portal FMT.
Sikap PAS yang dilihat sedikit membisu dalam isu ini turut ditempelak Hasan yang merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor.
Apatah lagi katanya, terdapat wakil daripada parti Islam itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa, yang dijemput sebagai panel jemputan bersama-sama Izzah.
“(Hari ini) Pemimpin PAS tidak lagi menyebut perkataan jihad..pemimpin PAS pun sebut tentang demokrasi..pemimpin PAS menyebut tentang Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) juga seolah-olah mempertahankannya..(tapi) pemimpin PAS kaku, beku, bisu bila kenyataan yang dikemukakan Nurul Izzah dalam forum ini.
“Siapa sebelah Nurul Izzah? Pemimpin PAS (Mujahid)..seorang doktor, berpelajaran tinggi..pemimpin PAS pusat..hebat..tetapi di akhirnya dia antara manusia yang bertepuk tangan meraikan pendapat Nurul Izzah,” tegas beliau ketika menjadi panel forum anjuran Pertubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang bertemakan ‘Kebebasan Bertukar Agama Dari Sudut Islam dan Perlembagaan Persekutuan’ malam tadi.
Panel jemputan lain yang ditampilkan di dalam forum tersebut yang dianjurkan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru itu adalah Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkifli Noordin, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad dan Presiden Institut Penyelidikan Strategik Islam (ISSI), Dr Yusri Mohamad serta penceramah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah bertindak sebagai moderator.
Forum anjuran Perkasa itu adalah respon kepada kenyataan Izzah yang telah menimbulkan kontroversi di kalangan umat Islam di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan