KOTA BHARU: Ketika umat Islam di seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel
dan mendoakan keamanan serta keselamatan rakyat Palestin, PAS mengadakan solat
hajat dan berdoa supaya Umno dihancurkan.
Solat hajat di Stadium Sultan
Muhammad IV, di sini malam kelmarin diimamkan adik Mursyidul Am PAS, Nik Razi
Nik Mat sempena perhimpunan anjuran parti pembangkang berkenaan.
Antara
kandungan doa yang dipimpin oleh Nik Razi ialah meminta UMNO dan Barisan
Nasional (BN) dijahanamkan seperti Firaun ditenggelamkan ke laut, Qarun ditelan
bumi dan Namrud serta Abu Lahab dilaknati.
Doa juga memohon supaya
pembangkang mendapat jalan mudah ke Putrajaya pada pilihan raya umum akan
datang.
Bagaimanapun, tindakan itu dikritik pelbagai pihak yang disifatkan
tidak wajar, termasuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan bekas Mufti
Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Mereka berpendapat ia jelas
bertentangan dengan nilai murni dan ajaran Islam.
Harussani berkata,
perbuatan memohon doa keburukan kepada orang Islam lain ditegah oleh agama.
Beliau berkata, umat Islam sepatutnya berdoa supaya dihapuskan musuh agama dan
bukan meminta supaya dihancurkan sesama Islam.
"Perbuatan itu tidak bagus
kerana ahli Umno adalah Islam. Sepatutnya kita mendoakan yang baik untuk sesama
Islam," katanya.
Dr Mohd Asri pula berkata, umat Islam sepatutnya berdoa
supaya menghancurkan orang yang zalim tanpa mengira parti.
"Janganlah berdoa
menghancurkan Umno kerana mereka juga umat Islam. Mungkin mereka ada kesilapan
tetapi ahli PAS juga ada melakukan kesilapan," katanya.
Presiden Pertubuhan
Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina Ahmad berkata
berdoa untuk menjahanamkan sesama Islam tidak dibenarkan.
"Kita semua ada
kekurangan masing-masing tetapi tindakan PAS itu agak keterlaluan. Parti itu
sering melaungkan perpaduan ummah tetapi pada masa sama mereka yang sebenarnya
menghancurkannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan