KUALA LUMPUR 16 Nov. - Dewan Muslimat Pas hari ini mendesak Karpal Singh 
meminta maaf berhubung kenyataan beliau menyarankan pendaftaran parti politik 
dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum termasuk Pas dibatalkan kerana 
merbahayakan negara.
Dalam kenyataan melalui laman sosial Facebook, dewan itu menegaskan, Karpal 
perlu memohon maaf atas dua perkara iaitu;
n Pertama kerana mempunyai pendirian yang langsung tidak menghormati 
sensitiviti dan dasar perjuangan parti rakan dalam pakatan pembangkang iaitu Pas 
yang jelas meletakkan Islam sebagai dasar seperti terkandung dalam 
Perlembagaannya. 
n Kedua, kerana berbohong mengatakan beliau tidak pernah mengaitkan Pas dalam 
kenyataan yang dibuat.
''Dewan Muslimat menganggap ia adalah satu pelanggaran sikap pakatan yang 
sangat serius dan tidak selari dengan semangat saling menghormati dalam Pakatan 
Rakyat.
''Bahkan ia tidak sesuai ditonjolkan oleh mana-mana pimpinan tertinggi 
Pakatan Rakyat yang sepatutnya sudah jauh lebih matang dalam memahami hasrat 
keseluruhan rakyat,'' kata kenyataan itu.
Kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada pendedahan Dewan Pemuda Pas Pusat, 
semalam yang mendakwa mereka mempunyai bukti Karpal berbohong dalam isu itu.
Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob mendedahkan, bukti 
tersebut terkandung dalam cakera padat rakaman penuh sidang akhbar selama 24 
minit 47 saat yang dibuat Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di Pulau Pinang 5 
November lalu.
Dalam kenyataannya juga, Dewan Muslimat Pas kesal dengan pendirian Karpal dan 
pembohongan yang beliau lakukan serta menganggap ia melunturkan kredibiliti 
beliau di mata rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang menyokong Pas.
''Dewan Muslimat mendesak agar Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat 
segera bersidang bagi menangani masalah ini sebelum tindakan lebih tegas diambil 
oleh pihak Dewan Muslimat bersama Dewan Pemuda,'' kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd.Amar Nik 
Abdullah berkata, Karpal adalah seorang pemimpin yang mempunyai sikap tidak 
berhati-hati dan sudah banyak kali menyentuh sensitiviti Pas.
Sehubungan itu, beliau mahu Pengerusi DAP tersebut berhenti bersikap 
demikian.
Mohd. Amar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai Karpal tetapi dalam 
nada tegas menyatakan pandangannya mengenai pemimpin DAP itu sudah disiarkan 
akhbar ini pada 7 November lalu.
"Saya sudah komen dalam Utusan Malaysia hari itu dan disiarkan di muka depan. 
Itulah Karpal Singh, awak boleh baca jadi saya tidak mahu komen apa-apa lagi," 
katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini 
hari ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131117/po_02/Karpal-didesak-minta-maaf#ixzz2kyLTb9zc 
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan