Rabu, 4 Jun 2014

Perasaan 'Poyeng' bercampur baur


KUANTAN - Aksi final Piala FA Sabtu ini antara Pahang menentang Felda United nyata menimbulkan perasaan campur baur bagi pemain Tok Gajah, Saiful Nizam Miswan yang pernah menetap di Felda Adela, Kota Tinggi.
Saiful Nizwan atau Poyeng berkata, dari satu sudut, sudah pasti dia berasa bangga dengan pencapaian Felda United mara ke perlawanan akhir Piala FA buat julung-julung kalinya.
Katanya, pencapaian sejauh itu pastinya mengangkat kedudukan warga peneroka Felda di seluruh negara apatah lagi pasukan ini membawa nama `The Settlers' atau `Sang Peneroka'.
"Namun sebagai pemain profesional, saya pastinya memberikan aksi terbaik kepada pasukan di mana saya berkhidmat. Situasi ini bukan asing kepada mana-mana pemain.
"Seperti menentang Johor Darul Takzim (JDT), saya tetap beri komitmen penuh biar pun lawan adalah pasukan negeri kelahiran saya sendiri dan ini bakal diulangi pada aksi menentang Felda United Sabtu ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara, Saiful Nizam yang menyarung jersi Pahang sejak 2009 berkata, terlepas aksi separuh akhir kedua menentang JDT Jumaat lalu akibat penggantungan membangkitkan lagi semangatnya untuk membantu Tok Gajah menjulang Piala FA.
Katanya, segalanya kini terpulang pada perancangan jurulatih, Zainal Abidin Hassan untuk menentukan barisan kesebelasan utama Pahang pada malam tersebut.
"Namun selaku pemain, sudah pasti saya amat mengidamkan untuk beraksi di pentas final. Apatah lagi, ini final Piala FA pertama dalam karier saya.
"Saya tahu persaingan untuk berada dalam kesebelasan utama adalah sengit apatah lagi semua pemain bersemangat tinggi untuk membawa Pahang menjulang Piala FA selepas kami meraih Piala Malaysia musim lalu," jelas pemain pertahanan itu.
Tambah Saiful Nizam, seperti mana pandangan ramai, cabaran Felda United tidak boleh dipandang mudah dan mereka terbukti mampu menumbangkan lawan dari Liga Super dalam perjalanan ke akhir seperti mana dibuktikan sewaktu menentang Kelantan.
"Siapa jangka Felda United mampu mengekang Kelantan. Jadi saya harap siapa pun di antara kami yang akan beraksi nanti tidak memandang mudah keupayaan lawan.
"Saya juga yakin jurulatih akan membuat persediaan rapi dalam menyediakan taktikal terbaik untuk pasukan," ujarnya.


KOMENTAR :
HOGOH PAHANG HOGOH...

Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20140603/su_06/Perasaan-Poyeng-bercampur-baur#ixzz33dnDuRcl
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: