Rabu, 4 Jun 2014

PRK Teluk Intan: DAP salahkan Pas

KUALA LUMPUR 3 Jun - DAP menyalahkan Pas kerana berkeras untuk melaksanakan hudud di Kelantan sehingga menyebabkan calon parti itu, Dyana Sofya Mohd. Daud kalah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Sabtu lalu.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Gobind Singh Deo berkata, pendirian Pas itu telah mengakibatkan berlaku protes secara senyap terhadap pembangkang.
Beliau memberitahu, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong hudud malah mereka berpandangan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
"Ramai yang secara terbuka menyuarakan kebimbangan terhadap hasrat Pas untuk melaksanakan hudud walaupun ia bukan sebahagian daripada dasar bersama pembangkang.
"Mereka rasa terpedaya kerana menyangka Pas tidak lagi bercadang untuk menubuhkan sebuah negara Islam apabila memberi sokongan terhadap parti itu dalam dua pilihan raya umum yang lalu," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.
PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan Dyana Sofya tewas kepada calon BN, Datuk Mah Siew Kiong dengan majoriti 238 undi.
Pada 13 April lalu, Kerajaan Pas Kelantan melalui Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob mengumumkan keputusan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.
Tambah Gobind, strategi politik yang berkesan termasuk dari aspek calon dan visi parti tidak berupaya mengetepikan keperluan untuk menyatakan pendirian yang jelas tentang isu berkaitan kepentingan orang ramai seperti hudud.
"Kesan negatif akibat isu-isu seperti hudud perlu dihayati dan difahami melalui kekalahan ini," katanya.
Walau bagaimanapun, pada ruangan komen Facebook milik Go­bind itu, pemilik akaun 'Abu Ihsan Izziddeen' menempelak Ahli Parlimen Puchong tersebut kerana menyalahkan pihak lain di atas kekalahan DAP.
"Adakah ia kerana kesalahan agama Islam atau kerana kelemahan DAP memberi penjelasan bahawa hudud adalah hak umat Islam yang tiada kaitan dengan orang bukan Islam?" katanya.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20140604/po_03/PRK-Teluk-Intan-DAP-salahkan-Pas#ixzz33diphfKx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: