Rabu, 4 Jun 2014

RM15j-ASB-Sejahtera-untuk-rakyat-miskin-tegar

Mohamad Azam Ismail (dua dari kanan) menerima replika cek daripada Mohamad Abdullah (dua dari kiri) dalam Majlis Penyampaian Bantuan ASB Sejahtera di SMK Tanjung Chat, Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU 3 Jun - Sebanyak 315 individu yang disenaraikan sebagai miskin tegar di negeri ini menerima skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) Sejahtera bernilai RM1.5 juta.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohamad Azam Ismail, berkata, program tersebut diwujudkan oleh kerajaan dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (ARB) khusus untuk membantu golongan tersebut.
Beliau berkata, golongan miskin tegar serta berdaftar dalam Bank Data Kemiskinan Nasional (e-kasih) layak mendapat bantuan ASB sejahtera itu.
"Menerusi program pelaburan ini, saham ASB Sejahtera sebanyak RM5,000 didaftarkan atas nama peserta tetapi saham itu adalah milik kerajaan dan peserta hanya me-nerima dividen tahunan daripada pelaburan itu.
"Pembayaran dividen akan dikreditkan terus ke dalam akaun ASB peserta setelah jumlah dividen diisytiharkan setiap tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan ASB Sejahtera di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Chat dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohamad Abdullah.
Mohamad Azam memberitahu, pengagihan ASB Sejahtera itu adalah inisiatif kerajaan bagi membantu golongan sasaran untuk menghapuskan kadar kemiskinan tegar selain dapat memberi tambahan pendapatan kepada masyarakat luar bandar di seluruh negara.
"Melalui pemberian ASB Sejahtera, ia juga inisiatif dalam menggalakkan golongan miskin tegar di negara ini untuk melabur dalam pasaran saham yang dijamin oleh kerajaan," ujarnya.
Sementara itu, seorang penerima, Mohd. Rosli Deraman, 68, berterima kasih kepada kerajaan di atas bantuan yang diberikan.
"Dengan perolehan dividen daripada pelaburan itu, ia dapat meringankan beban kami sekeluarga," jelasnya.



Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Timur/20140604/wt_04/RM15j-ASB-Sejahtera-untuk-rakyat-miskin-tegar#ixzz33dqeiRUW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: