Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan media supaya bertanggungjawab di 
atas penyiaran laporan tidak tepat dan fakta palsu berhubung 1Malaysia 
Development Berhad (1MDB) atau bakal berdepan tindakan termasuk pembatalan 
permit penerbitan. 
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini susulan penahanan 
Xavier Andrea Justo di Thailand semalam yang didapati bertanggungjawab 
menyalurkan maklumat yang tidak tepat kepada blog politik, Sarawak Report 
sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap 1MDB.
Beliau dalam masa sama turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 
Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan terhadap portal berita yang telah 
menyiarkan berita palsu itu.
“Maklumat rintis palsu itu akhirnya dilaporkan oleh majalah The Edge dan 
media lain secara terbuka. The Edge dan pemiliknya perlu mengambil tanggungjawab 
di atas penyiaran laporan yang tidak tepat dan fakta palsu itu.
“Akhbar tersebut sepatutnya membuat pengesahan fakta terlebih dahulu sebelum 
membuat laporan. Laporan palsu sebegini boleh mencemarkan etika kewartawanan dan 
pihak kementerian boleh membatalkan atau menarik balik permit penerbitan,” 
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penerapan 
nilai-nilai murni sempena bulan Ramadan di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas penahanan Justo di rumahnya di Thailand oleh Bahagian 
Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thailand atas pertuduhan cuba memeras ugut 
PetroSaudi sebanyak 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta) berhubung maklumat 
berkaitan 1MDB semalam.
Menurut Ahmad Zahid, sel data yang dicuri itu adalah tidak lengkap malah 
telah menjalani proses penyuntingan secara profesional selepas dikeluarkan 
daripada sistem syarikat tersebut dengan niat jahat untuk menyerang dan 
merosakkan imej organisasi dan individu tertentu.
“Difahamkan, berdasarkan siasatan forensik sebahagian e-mel dan dokumen yang 
disiarkan dalam blog tersebut telah ditokok tambah selepas dicuri dari pangkalan 
data PetroSaudi,” jelasnya.
Sementara itu , beliau berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dengan pihak 
berkuasa Thailand termasuk mengekstradisi rakyat negara ini bagi membantu 
siasatan kes peras ugut melibatkan bekas eksekutif PetroSaudi yang ditahan di 
negara jiran itu semalam.
Kata beliau, pihaknya melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama 
dengan pasukan polis Thailand dan Sekretariat Polis ASEAN (ASEANPOL) dalam 
menyelesaikan kes jenayah antarabangsa itu.
Beliau berkata, pihak berkuasa akan menyiasat rekod e-mel dan panggilan 
telefon mereka yang terlibat dalam kes penipuan, pemalsuan dan peras ugut 
itu.
“Kalau pihak berkuasa Thailand mahu ekstradisi dilakukan terhadap rakyat 
Malaysia yang bertanggungjawab menyiarkan berita terbabit maka pihak kita sedia 
memberikan kerjasama,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid, pihaknya menyambut baik tindakan polis Thailand yang 
telah menangkap dan menjalankan siasatan ke atas warga Switzerland itu atas 
tuduhan cuba memeras ugut syarikat berkenaan.
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan