Kerajaan sekali lagi didesak mengkaji balik hasrat Lembaga Tabung Haji (Tabung
Haji) untuk menjual tanahnya yang terletak di pusat kewangan, Tun Razak Exchange
(TRX) kerana mempunyai potensi pelaburan yang sangat tinggi dan
menguntungkan.
Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, aset tersebut perlu
dipertahankan kerana harga tanah di TRX dijangka terus meningkat terutama
selepas pembangunan di segi tiga emas itu disiapkan dan dilengkapi dengan
pelbagai infrastruktur serta prasarana moden.
Menurut beliau, tanah berkenaan juga melambangkan pemilikan aset oleh orang
Melayu dan Islam di kawasan hartanah paling bernilai di negara ini memandangkan
Tabung Haji merupakan institusi yang mewakili kaum itu.
“Kalau mengharapkan syarikat individu milik Melayu, saya rasa 20 tahun akan
datang pun tiada orang Melayu akan memiliki tanah di situ, sekarang ada
institusi yang mewakili Melayu dan Islam. Jadi, perlu untuk kita menjaga
kepentingan tanah itu yang dibeli pada harga lebih murah berbanding yang dibayar
syarikat lain.
“Isu ini sebenarnya dipolitikkan sehingga Tabung Haji mahu jual balik tanah.
Seolah-olah Tabung Haji mahu menyelamatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
walhal ini tidak masuk akal kerana hutang 1MDB adalah RM42 bilion sedangkan
tanah itu dibeli pada harga RM188.5 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-11
(RMK-11) dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, seiring dengan hasrat menjadikan TRX sebagai hab
kewangan Islam global, maka pelaburan Tabung Haji di situ sangat bertepatan bagi
menunjukkan kepada dunia bahawa institusi Islam itu juga mampu berjaya dalam
bidang kewangan Islam.
Menurutnya, aset berkenaan akan turut menyumbang kepada pertambahan jumlah
tanah dimiliki bumiputera di negara ini yang hanya tinggal 12 peratus berbanding
sasaran yang pernah ditetapkan raja-raja Melayu suatu ketika dulu iaitu sebanyak
50 peratus.
“Apa sudah jadi kepada sasaran untuk memperkasa pemilikan bumiputera terhadap
tanah-tanah di negara ini yang tinggal 12 peratus kerana banyak tanah telah
diambil tetapi tidak diganti balik.
“Kita tidak mahu akhirnya nanti tanah di TRX juga dikuasai oleh orang lain
tanpa satu pun dimiliki orang Melayu, sekangkang kera pun tidak ada yang menjadi
milik orang Islam kerana telah dijual dan dipolitikkan,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan