Sikap khianat segelintir anggota agensi penguat kuasa terus menjadi `duri dalam
daging, sehingga mengakibatkan sempadan negara begitu mudah dibolosi
oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Apa yang membimbangkan biarpun gejala itu sudah berlanjutan sejak dua dekad
lalu namun sehingga kini amalan rasuah didakwa terus berlaku di sempadan
negara.
Sumber memberitahu, meskipun penambahbaikan serta cadangan demi cadangan yang
komprehensif diberikan, namun sistem perjalanan kerja yang dilakukan penguat
kuasa di sempadan masih berada di takuk lama sehingga mengakibatkan kegiatan
rasuah menjadi budaya dalam kalangan mereka.
“Kelemahan itu menjadi faktor utama ramai pihak yang tidak bertanggungjawab
mendapat peluang dan kesempatan untuk membeli penguat kuasa dengan wang
ringgit.
“Lebih menyedihkan, dengan hanya suapan serendah RM20 ringgit sahaja, pintu
masuk di sempadan negara terus dicabuli dengan pelbagai kegiatan penyeludupan
yang akhirnya memberi kesan negatif kepada negara,’’ katanya kepada Utusan
Malaysia.
Kelemahan itu juga dakwa sumber itu, diketahui pegawai atasan atau
ketua-ketua jabatan yang menyelia sistem kerja penguat kuasa namun sehingga kini
tiada sebarang tindakan drastik diambil sejak bertahun lamanya.
Sumber berkata, pegawai atasan mengambil mudah tentang perjalanan kerja
anggota mereka sehingga sanggup menutup sebelah mata meskipun mengesan atau
mengetahui berlakunya kejadian rasuah.
“Ketirisan di sempadan ini bukan benda setahun dua berlaku sebaliknya telah
berpuluh-puluh tahun dan hampir mencecah lebih dua dekad lamanya.
“Perkara ini berpunca akibat pegawai atasan yang tidak memberi perhatian
terhadap cara kerja anak buah mereka. Antara yang dikesan adalah kurangnya
pemantauan secara berkala serta tidak turun padang untuk menyelia sendiri setiap
aturan kerja penguat kuasa.
“Malah apabila terdapatnya laporan salah laku, tiada tindakan drastik
dilakukan dan pegawai yang melakukan kesalahan rasuah masih dibiarkan berkhidmat
di lokasi sama, Tindakan itu seolah-olah mereka tutup sebelah mata dan tidak
ambil peduli,” katanya.
Turut difahamkan, operasi yang dilakukan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah (SPRM) di sempadan utara negara baru-baru ini adalah
disebabkan permasalahan ini, yang membelenggu agensi-agensi penguatkuasaan sejak
sekian lama di seluruh negara.
“Walaupun laporan secara dalaman telah diberikan namun tiada tindakan drastik
dilaksanakan malah sempadan negara terus diceroboh ekoran sikap tidak
berintegriti sebilangan penguat kuasa.
“Walaupun jumlah tangkapan sekadar sekitar 40 penguat kuasa sahaja namun
bilangan itu dilihat tinggi memandangkan isu ini melibatkan isu keselamatan
negara,’’ kata sumber itu lagi.
Seperti diduga oleh banyak pihak gejala rasuah yang berpunca daripada perbuatan
khianat segelintir anggota penguat kuasa menyebabkan sempadan negara kita mudah
dibolosi. Persoalannya, bagaimanakah rasuah itu dilakukan dan siapa yang
terlibat?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan