Menteri Besar, Mohamed Azmin hari ini mengadap Sultan Selangor, Sultan
Sharafuddin Idris Shah selain mengadakan perbincangan dengan baginda di Istana
Bukit Kayangan di sini, ketika pentadbiran pakatan pembangkang termasuk negeri
ini sedang berhadapan kemelut politik akibat pergeseran di antara Pas dan DAP.
Mohamed Azmin sebelum itu hadir di istana berkenaan bagi mengiringi baginda
sempena istiadat penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Selangor;
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Selangor; Hakim-hakim Mahkamah Rendah Syariah
Selangor dan para Pendaftar serta Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah
Selangor.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin kemudiannya menghadap dan mengadakan
perbincangan hampir satu jam dengan Sultan Selangor selepas istiadat tersebut
selesai kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Namun, tidak dapat disahkan sama ada perbincangan tersebut melibatkan isu
politik semasa yang melanda pakatan pembangkang ketika ini atau sebaliknya.
Pada 18 Jun lalu, Mohamed Azmin menegaskan adalah tidak adil untuk mengheret
institusi kesultanan dalam krisis politik kerana beliau tidak ada keperluan
untuk menjelaskan isu tersebut kepada baginda.
Kenyataan itu dibuatnya selepas Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pada
Khamis lalu menyatakan Menteri Besar Selangor itu akan menghadap Sultan Selangor
dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan pentadbiran kerajaan negeri
pimpinan PKR itu susulan krisis dalam pakatan pembangkang.
Menurut Rafizi, ia membolehkan penjelasan sebenar situasi politik diberi
dengan teliti kepada Sultan Selangor selain untuk pengetahuan rakyat negeri ini
susulan DAP sebelum ini mengumumkan bahawa ikatan politik pakatan pembangkang
yang dimulakan pada 2008 sudah tidak lagi wujud, berikutan usul muktamar Pas
lalu yang memutuskan hubungan dengan parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan