Masihkah ada sinar di sebalik 'awan hitam' yang menyelubungi Pas dan
DAP?
Persoalan ini pastinya antara perkara yang bermain diminda rakyat
khususnya pemerhati politik ekoran kemelut yang melanda PR ini kian parah,
sekali gus menyaksikan Pas dan DAP 'berpatah arang, berkerat
rotan'.
Hubungan yang dibina sejak 1 April 2008 atas nama PR dengan
tujuan untuk 'membela kebajikan rakyat' kini lumpuh. Ia seakan-akan kehilangan
nakhoda, selepas ketiadaan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang
menjalani hukuman penjara atas tuduhan liwat.
Seperti yang diketahui
banyak pihak sebelum ini, keutuhan dan kesepaduan serta masa depan PR sebenarnya
banyak bergantung kepada Anwar, yang memainkan peranan sebagai orang tengah
kepada Pas dan DAP khususnya dalam membina kepercayaan antara kedua parti
itu.
Sebelum ini, Pas dan DAP pernah bersama dalam Barisan Alternatif
(BA) pada 1999 bersama dua parti lain iaitu Parti Keadilan Nasional dan Parti
Rakyat Malaysia (PRM).
Lantaran tidak bersetuju dengan dasar Pas
memperjuangkan penubuhan negara Islam, DAP keluar daripada BA pada 2001 manakala
Keadilan dan PRM bergabung membentuk PKR pada 2003.
Kini nasib yang
sama bakal dilalui PR seolah-olah mengulangi episod hitam yang pernah berlaku
semasa BA.
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian
Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata sesebuah
pakatan yang dibentuk tidak sepatutnya tertumpu kepada ketokohan seseorang
pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai matlamat akhir yang
sama.
"Dalam konteks PR, memang benar Anwar adalah gam yang menyatukan
tiga parti dan tanpanya, pakatan akan berpecah. Persoalannya, sampai bila nak
guna Anwar?," katanya.
Keretakan bermula apabila DAP memutuskan
hubungan dengan Pas di Sabah dan Sarawak ekoran isu hudud dan kemudiannya
memutuskan hubungan dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tetapi
masih kekal bekerjasama dengan Pas.
Pas kemudian menerusi satu usul
tergempar Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan dengan
DAP, tetapi kekal bersama pakatan pembangkang. Usul itu kemudiannya diterima
tanpa bahas pada Muktamar tahunan Pas ke-61 pada awal bulan
ini.
Rentetan itu, pada 16 Jun Setiausaha Agung parti Lim Guan Eng
mengisytiharkan bahawa PR tidak lagi wujud. Guan Eng berkata keputusan muktamar
Pas untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan
itu.
Terpaksa menelan pahit keputusan rakan sekutunya, Presiden PKR
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada keesokan hari mengakui PR tidak lagi
berfungsi secara formal.
Penganalisis politik berpendapat bahawa
kewujudan PR yang longgar belum mampu membentuk pakatan atau gabungan yang
mantap untuk menjadi parti alternatif kepada BN.
Mohd Izani
berkata, kemungkinan untuk Pas-DAP 'berbaik' itu ada kerana ia melibatkan soal
strategi politik yang akan menentukan kemenangan dalam pilihan raya umum akan
datang.
Jika kemungkinan 'berbaik' itu ada, apakah yang berlaku ketika
ini satu drama sekadar untuk menarik perhatian umum?
"Pas menerima
hakikat bahawa kerjasama politik adalah penting dan sebab itulah walaupun mereka
memutuskan hubungan dengan DAP, (tetapi) mereka masih nak kekal bekerjasama
dengan PKR.
"Pas juga tidak mustahil bekerjasama semula dengan DAP
sekurang-kurangnya dengan membentuk pakatan pilihan raya untuk mengelakkan
pertembungan tiga penjuru antara (BN, Pas dan DAP)," katanya kepada
Bernama.
Ibarat cinta tiga segi, pastinya yang tersepit dalam hubungan
ini ialah PKR yang sudah tentu memerlukan Pas dan DAP untuk memastikan parti itu
terus mendapat laba hasil daripada kerjasama politik itu.
Bekas
Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali pada 18 Jun lepas dilapor sebagai berkata
Pas tidak boleh bergerak sendirian jika tidak bersefahaman dengan rakan pakatan
pembangkang lain untuk merealisasikan hasrat menumbangkan kerajaan BN, lantas
merampas Putrajaya.
Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada
Jumaat lepas menegaskan PR masih wujud dan belum berkubur biar pun rakan
sekutunya DAP mengisytiharkan pakatan itu tidak lagi wujud.
Pensyarah
itu berkata apa jua keputusan yang dihasilkan ketika muktamar cerminan suara
akar umbi Pas.
"Jangan pandang rendah terhadap mereka (akar umbi).
Mereka ini sangat mengambil berat akan hala tuju dan jati diri Pas,"
katanya.
Mohd Izani melihat sekali pun diwujudkan pakatan
pembangkang yang baharu, jika konsep 'equal partner' masih lagi digunakan, ia
tidak akan mampu membentuk pakatan yang kukuh.
'Equal partner' merujuk
kepada pemberian kerusi menteri besar kepada PKR dalam konteks Selangor meskipun
kerusi Dun tertinggi dimiliki Pas dan DAP, masing-masing memiliki 15 daripada
jumlah keseluruhan 56 kerusi Dun.
PKR pula hanya memiliki 13 kerusi,
BN (12) dan Bebas (satu). Selain Selangor yang diterajui PKR, Kelantan dikemudi
oleh Pas dan Pulau Pinang ditadbir DAP.
Bagi Dun Pulau Pinang yang
mempunyai 40 kerusi, DAP menguasai 19 kerusi, PKR (10), BN (10) dan Pas (satu)
manakala Dun Kelantan yang mempunyai 44 kerusi, 31 daripadanya dikuasai Pas, BN
(12) dan PKR (satu).
"Ternyata konsep equal partner tidak berjaya
dalam PR," kata Mohd Izani.
Beliau menegaskan bahawa meskipun
tanpa Pas, cadangan penubuhan sebuah parti politik baharu oleh Persatuan Ummah
Sejahtera Malaysia (PasMa), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai
idea pembentukan pakatan pembangkang yang baharu oleh DAP tidak mampu membentuk
pakatan yang jitu.
"PasMa adalah parti serpihan Pas dan tidak akan
boleh bertahan lama. Ia sekadar mampu menjadi platform mereka yang tidak berpuas
hati dengan kepimpinan Pas sahaja.
"PasMa memang mudah untuk
menjalinkan kerjasama, tetapi persoalannya, bagaimana pula dengan akar umbi Pas?
DAP dan PKR pun sangat bergantung dengan jentera dan tenaga kerja Pas. Sebab itu
pakatan pembangkang perlukan model kerjasama politik yang kukuh,"
katanya.
Beliau menegaskan walaupun amat sukar diterima, hakikatnya
DAP masih memerlukan Pas memandangkan teras politik negara adalah orang Melayu.
– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan