Isnin, 17 Mac 2014

ANWAR NAFIKAN...ALLAH MAHA MENGETAHUI...

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sangka pihak berkenaan serius dalam membuat tuduhan beliau menjadi punca juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah dikatakan merampas pesawat yang hilang sejak 8 Mac itu.
Sinar Harian melaporkan, ketua umum PKR itu menafikan kehilangan pesawat itu berkaitan dengan kesan kesedihan Zaharie susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat dan dipenjara lima tahun, sehari sebelum MH370 berlepas ke Beijing.
"Pesawat hilang sebab juruterbang kecewa saya dipenjara, ingatkan main-main rupanya mereka serius tuduh saya.
"Agensi-agensi media asing seluruh dunia mempersoalkan juruterbang sangat sedih dan bertindak melarikan pesawat sebab Anwar kena hukum penjara lima tahun," katanya ketika menyampaikan ceramah di Sungai Chua, Kajang, semalam.
Sehubungan itu, katanya, beliau minta supaya tidak dikaitkan dengan insiden yang meruntun hati keluarga penumpang dan pemerhati daripada seluruh dunia.
Anwar berkata, situasi tersebut (beliau disabitkan bersalah) dikongsi kesedihan jutaan rakyat Malaysia, bukan juruterbang MH370 sahaja, lapor Sinar Harian.
"Tapi bukan luah rasa sedih dengan bertindak mencuri kapal terbang. Pemandu teksi pun sedih juga tapi tidak pula pergi langgar orang.
"PRK ini antara Azizah dan Mei Fun, bukan soal peribadi dan kita bukan serang polisi," katanya.
Awal pagi semalam, akhbar tabloid Britain, Daily Mail melaporkan kemungkinan wujudnya teori pesawat itu dirampas sebagai tanda protes terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Akhbar itu mendedahkan, beberapa jam sebelum berlepas dengan pesawat Boeing 777-200ER (9M-MRO) ke Beijing, Kapten Zaharie turut hadir ke mahkamah pada 7 Mac untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar.
Zaharie menerbangkan pesawat MH370 bersama pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid.
Penyiasat memberitahu Daily Mail, mereka kini sedang mencari bukti mengaitkan teori pandangan politik Zaharie adalah sebahagian daripada faktor kontroversi kehilangan pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal pada 8 Mac.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, semalam berkata walaupun Zaharie merupakan ahli seumur hidup parti itu, perkara ini mustahil berlaku kerana ia melibatkan nyawa ramai manusia yang tidak bersalah dan ini merupakan satu teori konspirasi politik yang tidak masuk akal.

"Semua dikaitkan dengan Anwar sangat unik dalam politik Malaysia. Namun mengenali Umno dan Barisan Nasional, kalau mereka kehabisan modal, sesuatu yang bersifat khayalan boleh menjadi nyata," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider. – 17 Mac, 2014.

Tiada ulasan: