Isnin, 18 Ogos 2014

Sultan Selangor tolak jumpa Wan Azizah bincang isu MB, kata setiausaha sulit

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberi perkenan untuk berjumpa dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi membincangkan isu menteri besar Selangor, kata Datuk Mohamad Munir Bani.
Menurut Setiausaha Sulit Sultan Selangor itu, baginda menolak pertemuan itu kerana surat permohonan itu ditulis oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pihak Dr Wan Azizah.
"Baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR‎ untuk tujuan memberi penjelasan atas alasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menghadap baginda berkaitan kedudukan menteri besar Selangor," katanya.
Munir berkata, istana menerima surat yang ditandatangani Anwar pada 10 Ogos lalu, memohon untuk Dr Wan Azizah menghadap Sultan bagi memberi penjelasan dan penerangan keputusan yang diputuskan PKR.
Surat itu kemudiannya dipersembahkan kepada Sultan Sharafuddin pada 11 Ogos yang kemudiannya menitahkan Munir supaya memberi jawapan balas terhadap surat itu.
"Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Khalid dari menjadi ahli PKR merupakan isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negeri (Adun) Selangor.
"Baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalam PKR," katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Munir turut menjelaskan keputusan Sultan memperkenankan Khalid kekal sebagai menteri besar dibuat baginda sendiri dan bukannya melalui Mesyuarat Dewan Diraja Selangor.
Katanya, mesyuarat Dewan yang berlangsung semalam merupakan mesyuarat berjadual yang diperkenan baginda dan tidak membincangkan kedudukan Khalid sebagai menteri besar Selangor.
"Khalid sudah menghadap Sultan bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR dan beberapa perkara berkaitan kedudukan menteri besar sebelum sidang Mesyuarat Dewan Diraja.
"Sultan Selangor sudah memaklumkan kepada Mesyuarat Dewan Diraja Selangor mengenai keputusan baginda untuk mengekalkan Khalid sebagai menteri besar Selangor," katanya.
Semalam, Khalid berkata beliau berpuas hati selepas mendapat perkenan Sultan untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.

Khalid memaklumkan kepada Sultan beliau masih lagi memperolehi kepercayaan majoriti Adun Selangor. – 12 Ogos, 2014.

Ayam sabung PAS sudah jadi ayam daging Anwar dan Guan Eng, kata Zuhdi

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki meneruskan kontroversi apabila kali ini dipercayai mengkritik Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu kerana bersetuju dengan keputusan Pakatan Rakyat (PR) untuk hanya mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, walaupun parti Islam itu turut menamakan Mohamed Azmin Ali.
Zuhdi sebelum ini terkenal dengan mesej WhatsApp kumpulan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang terbocor dilihat mengkritik timbalan presiden PAS itu yang dikenali dengan gelaran "ayam sabung PAS."
"Ayam sabung PAS sudah menjadi ayam daging (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng," tulis Zuhdi melalui akaun Facebooknya hari ini.
"PAS Pusat sudah sebulat suara mencalonkan dua pimpinan PKR. Keputusan sebulat suara ini pun tak boleh dipertahankan bila berdepan dengan PKR dan DAP.
"Paling tidak beritahu pada PKR dan DAP, kami perlu bawa balik kepada PAS Pusat keputusan PR hari ini yang hanya mencalonkan DSWA. Tak akan perkara itu pun tak boleh buat?" tulisnya di Facebook hari ini.
Semalam PR berkata hanya akan menghantar satu nama iaitu Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR sebagai calon menteri besar Selangor baharu untuk menggantikan Khalid yang sudah dipecat partinya.
Keputusan itu dibuat selepas calon kedua yang dicadangkan PAS, Azmin menolak dirinya dicalonkan, memandangkan terikat dengan PKR yang mencalonkan Dr Wan Azizah.
PAS sebelum itu memutuskan untuk kekal dalam PR dan bersetuju dengan pilihan PKR melantik Dr Wan Azizah menggantikan Khalid dalam satu mesyuarat yang dikatakan sebagai penentu kepada masa depan gabungan pembangkang.
Parti Islam itu bagaimanapun turut menyerahkan nama Azmin sebagai calon lain bagi jawatan menteri besar Selangor.
PAS juga mengambil ketetapan mengekalkan empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mereka dalam pentadbiran Selangor.
Dalam respon balas Khalid kepada keputusan PAS, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu akan memohon mengadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat seterusnya berkenaan status beliau.
Khalid berkata, beliau menerima keputusan berkenaan dengan hati yang terbuka.
Sebelum ini kontroversi timbul dalam PR apabila tersebar mesej WhatsApp Zuhdi yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Mesej itu berbunyi:
“Kalau kita keluar PR kita boleh retain Selangor malah untuk seterusnya. Kita 15 kerusi+TSKI+seorang lagi Adun PKR+12 Umno, dah bentuk simple majoriti. Umno dalam kenyataannya mutakhir ini boleh terima TSKI jadi MB.
"Lepas ini kalau DAP, gereja dan non Muslim melalak isu serbuan, kalimah Allah, kita boleh jentik saja mereka. Hujung tahun ini ubah sempadan kembalikan semula kuasa politik Melayu Islam. So mana-mana suara non-muslim, gereja, kita boleh sergah macam sebelum ini.”

Mesej tersebut menimbulkan kemarahan pimpinan PKR dan DAP yang mendesak parti Islam itu memecatnya kerana lari daripada landasan perjuangan PR. – 18 Ogos, 2014.