PUTRAJAYA 28 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
menyifatkan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin
Cheh tanpa sebarang alasan sebagai sesuatu yang tidak wajar, membazirkan wang
rakyat serta membuang masa dan tenaga.
Tindakan tersebut menyebabkan badan bebas itu terpaksa memperuntukkan
sekurang-kurangnya RM2 juta bagi melaksanakan pilihan raya kecil untuk Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kos tersebut tidak
termasuk untuk perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan oleh agensi-agensi lain
seperti polis, tentera, pihak media dan parti-parti politik.
Tegas beliau, walaupun peletakan jawatan Chin Cheh adalah sah dari segi
undang-undang, dari segi moral dan politik, bekas ADUN PKR itu diharap dapat
menjadi wakil rakyat untuk tempoh lima tahun.
"Kecualilah kalau meninggal dunia, sakit kuat atau tenat atau sebab-sebab
lain di bawah artikel 48 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan seseorang
wakil rakyat itu hilang kelayakkan.
"Pilihan raya kecil ini akan berlaku di Kajang iaitu sebuah bandar yang agak
besar, sudah tentu melibatkan kos yang tinggi berbanding di Terengganu atau
Kedah, kita terpaksa berbelanja untuk sesuatu yang tidak wajar dan dari segi
moralnya tidak betul," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di
sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peletakan jawatan Chin Cheh
tanpa alasan semalam.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
mengesahkan spekulasi bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan
bertanding kerusi DUN Kajang pada pilihan raya kecil itu nanti.
Abdul Aziz seterusnya berkata, pengundi di Kajang perlu membuat keputusan
bijak dalam pilihan raya kecil tersebut kerana mereka adalah raja yang
memutuskan kemenangan seseorang calon.
"Bagi SPR kita terpaksa adakan pilihan raya kecil sebab wakil rakyat yang
diharapkan berkhidmat sehingga 2018 telah meletakkan jawatan selepas tidak
sampai setahun dipilih.
"Setiap wakil rakyat yang bertanding dan menang seharusnya sedar bahawa
kemenangan dan kepercayaan telah diberikan oleh pengundi-pengundi mereka,"
katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140129/po_03/Pilihan-raya-kecil-membazir#ixzz2rkneSTL7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan