Rabu, 9 Julai 2014

SESAMA SENDIRI PUN NAK DI JAHANAMKAN

Usaha jatuhkan saya sangat keji - Khalid

SHAH ALAM 5 Julai - Dakwaan bahawa beliau enggan meletakkan jawatan Menteri Besar seperti diarahkan oleh Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dianggap oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai satu perbuatan keji dan tidak bertanggungjawab.
Menurut Abdul Khalid, tiada sebarang perbincangan dibuat dalam parti berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar termasuk mahu beliau melepaskan jawatan.
Beliau turut menafikan ada menerima mana-mana arahan supaya berundur daripada jawatan tersebut.
"Kita tidak ada bincang perkara itu. Ini tidak benar. Ini adalah tindakan paling keji oleh orang yang mahu membuat kesimpulan penamat yang mempunyai tujuan sangat tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Migrasi Meter Air Individu di sini hari ini.
Semalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei mendakwa Abdul Khalid enggan melepaskan jawatan Menteri Besar walaupun tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada agenda Langkah Kajang.
Shuhaimi mendakwa peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PKR pada 15 Januari lalu untuk memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Mac lalu.
Abdul Khalid dalam pada itu turut mempertikai usaha Langkah Kajang berkenaan akan dapat menawan seluruh Selangor dan negara.
"Kalau tujuan Langkah Kajang dibuat untuk menawan Selangor dan negara, itu perlu diperbincangkan lagi. Boleh jadi kita dalam pakatan pembangkang pun tidak terfikir perkara sedemikian boleh berlaku," jelasnya.
Abdul Khalid walau bagaimanapun menegaskan, meskipun terdapat usaha mahu beliau berundur, itu tidak mematahkan semangat malah menjadikan dirinya lebih kuat bekerja bagi membuktikan kemampuannya kepada rakyat.
"Ini adalah lumrah politik kerana kerusi Menteri Besar hanya ada satu tetapi boleh jadi ramai yang berminat," jelasnya sinis.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140706/po_04/Usaha-jatuhkan-saya-sangat-keji---Khalid#ixzz36vu54ceL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: