Isnin, 25 November 2013

PRESIDEN PAS CAKAP TAK SERUPA BIKIN..

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Pendirian Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) dipersoal kerana pada masa yang sama beliau juga mengagumi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Hasan Malek berkata, Abdul Hadi seakan-akan tidak sedar bahawa rakan sekutunya itu turut terlibat dalam tuntutan yang dibuat oleh Comango.

"Saya cuma hairan apabila beliau seakan tidak sedar ataupun tidak perasan bahawa ramai orang menganggap Comango merupakan kawan baik atau sekutu Anwar.

"Tetapi Abdul Hadi pula menganggap Anwar sebagai pemimpin agung, ini yang saya rasa agak pelik sedikit," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 yang menggesa kerajaan tidak menandatangani sebarang persetujuan yang bercanggah dengan Islam melalui sesi pendengaran Proses Semakan Berkala Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Hasan berkata, tindakan Pas yang menggesa kerajaan menolak sebarang usaha untuk membawa rakyat dalam negara ini mengamalkan gaya hidup bebas songsang yang terbabas daripada tabii kehidupan penciptaan manusia, harus dipuji.

Menurutnya, tindakan Presiden Pas itu yang meminta kerajaan tidak tunduk pada tuntutan Comango sangat dihargai.

"Kita amat menghargai apabila Abdul Hadi meminta kerajaan tidak tunduk kepada tuntutan Comango yang mahu menghalalkan amalan kehidupan songsang, seks bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Sebagai orang Islam, semua pihak bertanggungjawab mempertahankan hukum Allah yang tidak mengizinkan perkahwinan sejenis," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131125/po_03/Isu-Comango-Hasan-hairan-pendirian-Hadi#ixzz2ldW1iFya
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: