Isnin, 25 November 2013

TUAN IBRAHIM KECEWA UTUSAN MALAYSIA LARIS BERBANDING HARAKAH

SHAH ALAM 24 Nov. - Tindakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang secara tiba-tiba menjadikan sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 di sini, hari ini sebagai medan 'membelasah' media arus perdana terutama Utusan Malaysia yang dianggap sebagai media musuh menimbulkan persoalan.
Dalam hujahnya, Tuan Ibrahim yang baru dipilih sebagai Naib Presiden Pas turut bertindak mempertikaikan segelintir pemimpin parti itu kerana masih memberikan kenyataan kepada akhbar ini.
"Kita tegaskan banyak dalam siri perbincangan, sumber yang perlu dirujuk ialah pimpinan parti bukan yang lain. Kita telah putuskan jangan beri kenyataan kepada Utusan Malaysia," katanya.
Tuan Ibrahim mendakwa terdapat ahli-ahli parti mempercayai isu yang timbul berkaitan Pas setelah membaca kenyataan pemimpin mereka dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Beliau mengingatkan ahli-ahli Pas agar mereka tidak terjebak dan masuk ke dalam putaran ganas media selain perlu mengelak perkara itu dibawa dalam pemikiran mereka.
"Kita mesti tutup label yang diberikan oleh musuh," katanya.
Persoalannya, kenapakah Tuan Ibrahim yang dilihat mewakili golongan ulama mengambil pendekatan 'menyerang' media khususnya Utusan Malaysia?
Ada pihak yang melihat dalam usaha menonjolkan diri sebagai 'bintang baru' bagi Pas, Tuan Ibrahim mencari publisiti murahan dengan 'menyerang' Utusan Malaysia.
Malah mungkin juga Tuan Ibrahim mahu menunjukkan kepada sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bahawa beliau 'sehati sejiwa' dengan mereka dalam soal sentimen terhadap Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim perlu faham bahawa tidak semua pemimpin dan ahli Pas berkongsi sentimen dengan beliau. Sebab itulah ada antara mereka bersedia memberi kenyataan kepada media arus perdana khususnya Utusan Malaysia.
Namun untuk menganggap Utusan Malaysia sebagai media musuh, ia jelas menampakkan ketidakmatangan Tuan Ibrahim dalam menangani media.
Tetapi ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ketika pemimpin pembangkang bercakap soal kebebasan media, mereka sendiri melakukan tindakan atau membuat kenyataan yang bertentangan dengan perkara itu. Sebab itulah mereka dituduh 'cakap tak serupa bikin' dan Tuan Ibrahim, mungkin salah seorang daripadanya.





Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131125/po_11/Apa-motif-Tuan-Ibrahim-belasah-Utusan-Malaysia#ixzz2ldXHtI6u
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: