Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, sindiket tersebut dikenal pasti selepas pihaknya melakukan siasatan terperinci termasuk yang membabitkan kes-kes rompakan terdahulu.
Beliau berkata, pada tahun ini sebanyak tujuh kes rompakan berlaku di Laut China Selatan dan pihaknya percaya ada di antara kumpulan berkenaan turut terlibat dalam rompakan kapal tangki itu yang membawa muatan minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta.
“Siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mencari dalang atau ‘kingpin’ yang bertanggungjawab dalam kes rompakan tersebut. Ketika ini ba­nyak peringkat perlu dilalui dalam usaha kita selesaikan siasatan.
“Apa yang penting ketika ini, kita perlu mengekstradisi segera lapan suspek yang kini ditahan di Vietnam supaya lebih banyak maklumat mampu diperoleh sehingga tertangkapnya ketua dalang,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang hadir sama, Komandan Gugus Keamanan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI) Wilayah Barat, Abdul Rashid Kacong dan Ketua Keamanan Laut Zon Maritim Barat Batam, Uk. Agung.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Puzi berkata, Maritim Malaysia juga akan meneliti segala alat perhubungan yang digunakan oleh kumpulan lanun terbabit termasuk komunikasi satelit memandangkan setiap peralatan itu amat penting dalam proses siasatan ketika ini.
“Kita akan merungkai dengan siapa lanun berkenaan berhubung sepanjang mereka berada di atas kapal MT Orkim Harmony dan ini semua diharap mampu membawa kepada tertangkapnya ketua sindiket.
“Kita juga akan menghantar wakil ke Vietnam dalam masa terdekat dan untuk makluman siasatan di negara tersebut diketuai oleh Indonesia kerana melibatkan rak­yat negara mereka,” katanya.
Menurut Ahmad Puzi, sehingga kini siasatan mengenai kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony telah siap 50 peratus dan 50 peratus lagi perlu menunggu lapan lanun berkenaan diekstradisi ke Malaysia.
“Saya percaya selepas lapan lanun berkenaan diekstradisi ke Malaysia, siasatan dapat dipercepatkan dan kita yakin dapat me­ngenal pasti sindiket yang menjadi dalang kepada rompakan tersebut. Pada masa sama, usaha kita untuk mengesan lima lagi lanun akan te­rus diperhebatkan.

“Sehingga kini siasatan sudah siap 50 peratus melibatkan proses forensik terhadap kapal MT Orkim Harmony dan proses soal siasat 22 kru. Kita sekarang hanya me­nunggu lapan lanun untuk dibawa ke Malaysia serta peralatan yang mereka gunakan,” katanya.
Mengulas mengenai rantaian sindiket rompakan di laut, Ahmad Puzi berkata, sindiket itu melibatkan enam gerakan iaitu perancang, perekrut perompak, pemberi maklumat, perompak, kapal penyedut minyak dan juga pembeli.

Dalam pada itu katanya, Maritim Malaysia akan memperhebatkan kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia dalam membanteras aktiviti rompakan di kawasan perairan kedua-dua negara.