DIBANDINGKAN dengan Melayu di tempat-tempat lain,
Melayu di Semenanjung Malaysia ini mempunyai kelebihan yang cukup besar.
Sebabnya, bumi yang mereka duduki diberi penghormatan entah oleh siapa untuk
dinamakan Tanah Melayu.
Carilah sebuah tempat lain di muka bumi ini yang
mempunyai nama yang serupa. Sulu tidak dinamakan Pulau Melayu. Sumatera tidak
dinamakan Bumi Melayu. Mindanao, Makasar, Sulawesi, dan segala macam tempat lagi
di nusantara ini tidak beri penghormatan untuk diabadikan dengan nama
Melayu.
Di sini, di bumi Semenanjung ini, terdapat begitu
banyak perkara yang dikaitkan dengan Melayu. Di sini terdapat entah berapa puluh
buah kampung Melayu, di samping sebuah dua pekan Melayu. Di sini nama Melayu
berada di mana-mana, daripada baju yang dipakai hinggalah pada parti yang
memerintah.
Di mana lagikah ada gambaran keakraban yang
serupa? Berapa buah bandarkah di Borneo yang dinamakan Bandar Melayu? Berapa
batang jalankah di Jawa yang dinamakan Jalan Melayu? Berapa buahkah Kampung
Melayu yang ada di Jolo? Ada tak ada perkataan yang cukup dekat dengan Melayu
atau Malay di tempat lain mungkin cuma Malayalam, bahasa yang banyak dipakai di
Kerala, barat daya India.
Apakah yang tergambar oleh semua kenyataan di
atas? Bukankah ianya suatu cerminan tentang kuatnya hubungan Semenanjung
Malaysia ini dengan orang Melayu? Bukankah itu satu gambaran yang amat jelas
bahawa dalam konteks rumpun Melayu, bumi Semenanjung ini mempunyai kehebatannya
sendiri yang tidak boleh digugat oleh mana-mana bumi lain. Ia seakan telah
disahkan sebagai bumi sebenar milik Melayu. Bumi tempat Melayu bermula dan
mungkin juga bumi tempat Melayu berakhir.
Tetapi jarang orang Melayu yang menyedari
kelebihan ini. Jarang Melayu mengambil berat tentang hakikat yang tersembunyi di
sebalik nama itu. Malah jarang orang Melayu mempedulikannya.
Himpunkan semua orang Melayu di Semenanjung ini
dan bertanyalah pada mereka bagaimana dan kenapa bumi ini diabadikan dengan
keturunan mereka. Tidak banyak yang akan dapat menjawabnya. Kebanyakannya kerana
tidak tahu dan kerana tidak pernah mahu mengambil tahu. Sebabnya? Mereka jarang
mengambil berat terhadap soal akar umbi sendiri.
Kebanyakan orang Melayu sendiri menyimpan
anggapan bahawa mereka sebenarnya bangsa yang masih muda. Mereka rata-rata
menganggap sejarah mereka cuma bermula dengan tegaknya Kesultanan Melayu Melaka.
Bagi mereka, sebelum itu Melayu tidak wujud. Mereka lupa atau barangkali alpa
pada hakikat bahawa Melayu di Semenanjung ini telah wujud lebih lama sebelum
itu. Kedah, di utara Semenanjung, telah dirakam dalam sejarah China sejak
Dinasti Liang (502-665). Kalaupun namanya waktu itu disebut ‘Langgasu’
(Langkasuka) dan wilayahnya menjengkau hingga ke selatan Siam, ia pada
hakikatnya tetap Kedah; salah sebuah negeri di bumi Melayu ini. Dan siapakah
yang mendiami Kedah waktu itu kalau bukan orang Melayu?
Empayar Srivijaya yang berpusat di Sumatera dan
yang telah membina tamadun cemerlang di hampir seluruh Tanah Melayu dan abad
ke-9 hingga abad ke-13 adalah kerajaan Melayu. Itu juga hakikat yang tidak boleh
dinafi. Orang-orang Melayu serpihan daripada empayar besar itulah yang
kemudiannya bertukar menjadi Melayu-Islam, mengikut jejak Parameswara.
Di Perak, para arkeologis mempunyai bukti bahawa
telah wujud kerajaan-kerajaan purba sejak kurun ke-5 Masehi. Lebih 1,300 tahun
dahulu kerajaan Gangga Negara yang dipercayai berpusat di Beruas telah tegak
sebagai sebuah kerajaan besar. Ia gah dan tersohor sehingga pada kurun ke-11
Gangga Negara berupaya menarik minat Raja-Raja Chola di India untuk
menyerangnya. Siapakah yang menjadi raja dan rakyat kerajaan Gangga Negara itu
kalau bukan orang Melayu?
Peta Tanah Melayu yang dilukis oleh Ptolemy pada
kurun ke-2 telah menunjukkan terdapat dua buah pelabuhan di pantai timur
Semenanjung iaitu ‘Kole’ dan ‘Perimoula’, yang kedua-duanya terletak di
Terengganu. Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang pula menunjukkan seawal
tahun 1303 Islam telah tiba di Terengganu. Siapakah agaknya yang menghuni Kole
dan Perimoula? Siapakah Raja Mandalika yang memerintah Terengganu pada waktu
Islam mula sampai ke situ? Bukan Melayukah mereka?
Dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada tersebut
mengenai suatu tempat bernama ‘Ko-lo’, yang dikatakan telah mempunyai hubungan
dengan China sejak zaman pemerintahan Dinasti Han (206 S.M – 221 Masehi). Dan
kebanyakan sejarahwan percaya ‘Ko-lo’ yang dikatakan terletak di Tanah Melayu
itu ialah Kelantan. Catatan-catatan China pada kurun ke-7 Masehi juga ada
menyebut mengenai ‘Ho-lan-tan’ dan ‘Kou-lo-tan’. Lagi sekali soalannya sama,
siapakah agaknya yang mendiami Kelantan ketika itu jika bukan orang Melayu?
Pendek kata, dilihat dalam apa sudut pun, orang
Melayu memang mempunyai sejarah yang amat panjang dan lama di bumi bertuah
ini.
Malangnya orang Melayu sendiri cenderung
memendekkan sejarah kehadiran mereka di sini. Mereka seolah-olah tidak berbangga
langsung mengenainya.
Sebagaimana disebutkan tadi, apabila bercakap
tentang sejarah bangsa, kita, iaitu semua Melayu di bumi Melayu ini, selalunya
cuma melihat setakat tahun 1403, tahun bermulanya kerajaan Parameswara di Melaka
dan tahun yang menjadi titik mula tegaknya sebuah kerajaan Melayu yang
terbilang. Kita jarang, malah selalunya tidak pernah mengambil hirau, terhadap
kehebatan empayar-empayar Melayu sebelum tarikh itu.
Ada beberapa sebab kenapa ini berlaku. Pertama,
sejarah tempatan pertama dalam bentuk tulisan iaitu Sejarah Melayu hanya ditulis
pada tahun 1612. Sebelum hasil penulisan Tun Seri Lanang itu tidak ada rekod
tempatan lain yang boleh dipakai. Rekod-rekod bertulis lain, khususnya dari
China dan India, kebanyakannya cuma menyebut secara samar-samar tentang
kewujudan bumi Melayu ini.
Jadi sejarah bertulis yang ada tidak cukup untuk
mengajak orang Melayu menjengah jauh ke akar umbi nenek moyangnya. Sejarah
Melayu itu pula lebih banyak memberi tumpuan pada tamadun yang dibina di Melaka
selepas mencampur-adukkan sejarah akar umbi rumpun Melayu dengan dongeng dan
fakta.
Di sekolah, kita dan anak-anak, diajar terlalu
sedikit tentang asal usul Melayu. Dan setiap kali subjek itu disentuh, fokus dan
tumpuan hanya setakat kerajaan Melayu Melaka, bukannya pada Melayu yang wujud
sebelum tegaknya tamadun di bumi Hang Tuah itu. Sampai sekarang tidak ada siapa
pun yang mahu mengambil berat untuk menjadikan Tamadun Melayu sebagai subjek
yang wajib dipelajari, setidak-tidaknya oleh anak-anak Melayu, di peringkat awal
persekolahan mereka. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang menginsafi hakikat
bahawa bangsa yang besar adalah bangsa yang tidak melupakan tunjang dan umbinya.
Hasilnya sampai sekarang anak-anak Melayu di bangku sekolah rendah lebih
mengenal nama dan asal usul Christopher Columbus atau Amerigo Vaspucci daripada
mengenal nama dan asal usul ‘Kedaram’ dan ‘Kolantam’.
Ada pendapat mengatakan orang Melayu sendiri
sebenarnya sengaja tidak mahu menganggap mereka wujud sebelum kemunculan
Kerajaan Melayu Melaka. Ini berlaku kerana pada zaman-zaman sebelum itu orang
Melayu bukan penganut Islam. Tamadun yang dibina di Semenanjung sebelum Melaka
adalah tamadun bukan Islam. Srivijaya misalnya, adalah sebuah kerajaan yang
tegak di atas kepercayaan Buddha. Tamadun yang pernah muncul di sekitar Kuala
Merbok, Kedah pula terpacak atas panji-panji Hindu.
Orang Melayu dikatakan tidak mahu dikaitkan
dengan semua elemen bukan Islam. Mereka malu mengaku bahawa nenek moyang mereka
dahulu adalah penganut Hindu, Buddha atau animisme. Mereka merasakan tidak ada
apa-apa yang boleh dibanggakan dengan tamadun terdahulu kerana semuanya adalah
tamadun bukan-Islam. Mereka terlupa satu perkara, bahawa dalam apa konteks pun
agama dan bangsa adalah dua perkara yang berbeza. Kalaupun yang membina
candi-candi di Merbok itu adalah penganut Hindu namun dalam konteks bangsa,
mereka berkemungkinan besar adalah Melayu. Tamadun yang mereka bina sehingga
memungkinkan tegaknya candi-candi itu juga sesungguhnya adalah Tamadun
Melayu.
Memang benar dalam Perlembagaan Persekutuan,
Melayu dan Islam berkait begitu rapat. Taraf Bumiputera yang dinikmati oleh
seseorang Melayu itu akan hilang dengan sendirinya jika individu Melayu
berkenaan tidak lagi beragama Islam. Secara langsung ini bermakna keMelayuannya
juga turut gugur.
Hubungkait yang rapat antara Melayu dan Islam
itulah agaknya yang menyebabkan kita tidak menganggap nenek moyang kita sebelum
kewujudan Melaka sebagai Melayu. Sebabnya, mereka bukan beragama Islam.
Tetapi apa yang dicatatkan oleh Perlembagaan
adalah sesuatu yang bersifat teknikal. Ianya juga subjek baru. Dan subjek itu
tidak mengubah realiti asal bahawa penganut Hindu, Buddha, animisma atau apa
sahaja kepercayaan sebelum Parameswara juga sebenarnya orang Melayu.
Dengan perkataan lain, ia tidak akan dapat
menggugat satu kebenaran: bahawa Melayu telah lama – terlalu lama – menjadi
penghuni di bumi Semenanjung ini. Dan kerana itu selayaknya mereka dianggap
sebagai pribumi, atau dalam istilah semasa sebagai Bumiputera.
Apa yang tersirat di sebalik hakikat itu ialah,
orang Melayu sesungguhnya mempunyai hak yang istimewa ke atas tanah ini. Hak
yang diwarisi sejak zaman berzaman itulah yang mesti mereka pertahankan dan hak
itu jugalah yang tidak boleh diusik oleh sesiapa.
Tetapi hak itu sebenarnya telah diusik dan sering terusik. Secara rasmi ia bermula sejak JWW Birch cuba menyentuh perkara-perkara yang membabitkan adat resam Melayu semasa menjalankan tugas-tugasnya sebagai Residen pertama British di Perak hinggalah ke gagasan Malayan Union dan seterusnya kepada suara-suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang-orang Melayu, yang kedengaran akhir-akhir ini.
Tetapi hak itu sebenarnya telah diusik dan sering terusik. Secara rasmi ia bermula sejak JWW Birch cuba menyentuh perkara-perkara yang membabitkan adat resam Melayu semasa menjalankan tugas-tugasnya sebagai Residen pertama British di Perak hinggalah ke gagasan Malayan Union dan seterusnya kepada suara-suara yang mempertikaikan hak keistimewaan orang-orang Melayu, yang kedengaran akhir-akhir ini.
Usikan-usikan begitu tidak akan berakhir dengan
mudah. Ia akan terus muncul dan muncul walaupun mungkin dalam suasana dan dengan
pendukung watak yang berbeza.
Jangan salahkan sesiapa. Setiap manusia mempunyai
hak untuk berasa ingin dan kemudian berusaha merealisasikan keinginannya. Birch
tidak bersalah kerana cuba mengusik adat resam Melayu dan agama Islam dalam
urusan pentadbirannya. Dia hanya melaksanakan tugas. Daripada satu sudut, dia
bolehlah dianggap seorang pegawai yang amanah dan baik. Dia telah mengambil
risiko besar demi untuk menyempurnakan amanah yang dipikulkan ke bahunya.
Tetapi pembesar-pembesar Melayu yang merancang
pembunuhan Birch juga tidak bersalah. Mereka melakukannya kerana mempertahankan
hak mereka. Mereka sedar bahawa mempertahankan hak juga adalah satu amanah.
Amanah itu jugalah yang sedang dipikul oleh kita
semua sekarang. Di atas batu jemala kita, yang suatu masa dahulu memikul titah
raja ini, sekarang terpikul harapan anak cucu. Kita dituntut untuk
mempertahankan hak mereka, yang sekaligus merupakan hak kita.
Tidak ada suatu kuasa lain yang mampu membantu
kita melakukannya. Hanya kita dan cuma kita.
Tidak ada sesiapa pun yang boleh menahan
usikan-usikan terhadap hak keistimewaan mereka selain daripada orang-orang
Melayu sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa melainkan bangsa
itu yang mengubahnya. Dan mempertahankan hak yang ada adalah satu langkah ke
arah mengubah nasib yang sedia ada.
Tetapi bagaimanakah Melayu hendak bercakap
tentang mempertahankan hak jika mereka sendiri tidak begitu sedar tentang hak
yang mereka miliki? Mana-mana juga bangsa yang mengabaikan sejarahnya lambat
laun akan menjadi sejarah. Sesungguhnya, hak di sisi sejarah adalah
sebesar-besar hak untuk apa juga bangsa di muka bumi ini. Dengan hak yang ada di
sisi sejarahlah Red Indian di Amerika dan Aborigines di Australia masih boleh
bertahan sehingga sekarang. Tanpa hak itu mereka mungkin akan lenyap begitu
sahaja. Dan hak itu pasti tidak dapat ditegakkan jika mereka sendiri mengabaikan
sejarah!
Kesedaran tentang kuatnya hubungan darah mereka dengan tanah di bumi Melayu ini perlu bertunas, membesar dan berkembang biak di jiwa setiap Melayu. Mereka harus berpaling jauh memandang ke belakang untuk mengenang kembali bagaimana besarnya kekuasaan datuk nenek mereka terhadap Tanah Melayu. Mereka perlu sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa bangsa mereka pernah gemilang di negeri ini dan kerana itu juga akan terus gemilang.
Kesedaran tentang kuatnya hubungan darah mereka dengan tanah di bumi Melayu ini perlu bertunas, membesar dan berkembang biak di jiwa setiap Melayu. Mereka harus berpaling jauh memandang ke belakang untuk mengenang kembali bagaimana besarnya kekuasaan datuk nenek mereka terhadap Tanah Melayu. Mereka perlu sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri bahawa bangsa mereka pernah gemilang di negeri ini dan kerana itu juga akan terus gemilang.
Tetapi berpaling ke belakang itu harus ada had
dan batasnya. Sama jugalah dengan memandang ke hadapan, harus ada garis dan
sempadannya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan