Pendirian Phahrolrazi itu merupakan jawapan balas cukup pedas kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang memberi peringatan kepada pemimpin dan ahli parti tersebut semalam, bahawa mereka akan ‘tenggelam’ jika keluar Pas untuk menubuhkan parti baharu.
Dalam nada sinis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor, Kedah, itu menambah, peringatan Abdul Hadi itu tidak berasas kerana Pas sebenarnya yang bertindak menenggelamkan 18 pemimpin dari kem Anwarinas dalam pemilihan parti tersebut baru-baru ini.
“Ini (perancangan menubuhkan parti Islam baharu) soal kebebasan dalam demokrasi, masing-masing mempunyai pertimbangan sendiri dan sudah tentu apabila kita merancang menubuh parti baharu, ada risikonya. Tapi peluang kejayaan juga sentiasa terbuka luas untuk kita.
“Soal tenggelam tidak timbul kerana dalam Pas (kumpulan 18 pemimpin) sudah ditenggelamkan, sedangkan mereka memiliki banyak potensi. Jadi kena cari tempat baharu untuk timbul iaitu wadah politik baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas peringatan Abdul Hadi menerusi surat terbuka Presiden Pas itu kepada seluruh ahli parti bahawa mana-mana pemimpin atau ahli yang keluar daripada Pas akan ‘tenggelam’ bersama parti atau pertubuhan lain yang disertainya.

Kumpulan 18 pemimpin Pas yang dilabelkan sebagai pendokong Anwarinas diketuai Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, kini sedang dalam siri jelajah untuk mengumpulkan sokongan selaras dengan rancangan mahu menubuhkan parti baharu selepas Aidilfitri nanti.
Dalam pada itu, menyentuh kesediaannya memberi peluang kepada Mat Sabu untuk memimpin parti yang bakal ditubuhkan kelak, Phahrolrazi berkata, langkah berkenaan wajar kerana bekas Timbalan Presiden Pas tersebut merupakan pemimpin paling kanan selain seorang aktivis.

“Mat Sabu merupakan pemimpin paling kanan, beliau seorang aktivis parti yang paling konsisten. Ini tentunya memberi kelebihan kepada beliau kerana faktor tersebut boleh memperkukuhkan pakatan tetapi buat masa ini, kita masih lagi di peringkat penaja,” katanya.