Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa kenyataan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa berhubung pembelian hartanah di Melbourne, Australia diputarbelitkan sesetengah media.

Najib menjelaskan keputusan mengenai pembelian hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

"Saya kecewa bahawa kenyataan Tan Sri Annuar Musa diputar-belit oleh sesetengah media. Keputusan hanya dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.

"Bagaimanapun, siasatan akan dilakukan oleh pihak berkuasa," katanya dalam catatan terbaru di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini.

Najib berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

Annuar dalam sidang media hari ini berkata Mara mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anak
syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Annuar berkata proses audit di samping siasatan SPRM, kedua-duanya yang bermula sejak beberapa minggu lepas, masih berjalan. - Bernama